PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS BERIKUTAN DATA LEMAH AS

09/07/2024 08:05 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan Indeks Dolar AS (DXY) merosot berikutan data ekonomi AS yang lemah.

Pada 6.01 petang, ringgit berada pada 4.7055/7105 berbanding dolar AS daripada 4.7065/7110 semasa ditutup Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata senarai gaji bukan ladang AS bagi Mei disemak turun pada minggu lepas daripada 272,000 kepada 218,000, menunjukkan pasaran buruh AS mungkin tidak teguh sepenuhnya.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata walaupun kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 62.6 peratus pada Jun berbanding 62.5 peratus pada Mei, ia masih lebih rendah berbanding 62.7 peratus yang dicapai pada Mac dan April tahun ini.

Pada masa sama, Mohd Afzanizam berkata AS menyaksikan peningkatan kadar pengangguran kepada 4.1 peratus pada Jun daripada 3.9 peratus dan 4.0 peratus, masing-masing pada April dan Mei.

Sehubungan itu, menurutnya kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell kepada Kongres AS pada Selasa dan Rabu minggu ini agak kritikal memandangkan peserta pasaran akan mencari sebarang petunjuk untuk mengurangkan kecenderungan.

“Secara keseluruhan, trend disinflasi telah berlaku manakala pertumbuhan dilihat semakin lemah. Oleh itu, dalam hal untuk beralih ke arah pendirian monetari yang lebih akomodatif mungkin diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi akan disokong.

“Sehubungan itu, ringgit dilihat positif untuk mengakhiri tahun ini pada RM4.65,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan terutama tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9219/9252 daripada 2.9286/9315 semasa ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding euro kepada 5.0923/0977 daripada 5.0953/1001 pada akhir minggu lepas, tetapi rendah berbanding pound Britain kepada 6.0273/0337 daripada 6.0182/0240 sebelum ini.

Ringgit diniagakan terutama lemah berbanding mata wang negara Asean.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4848/4887 daripada 3.4876/4912 semasa ditutup pada Jumaat.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.4/290.0 daripada 289.1/289.5 pada penutupan sebelumnya, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9268/9456 daripada 12.8646/881 pada Jumaat lepas, dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.05/8.06 daripada 8.04/8.05.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan