PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH SEMASA AKHIR SESI PAGI

12/07/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Jumaat berikutan pelabur menjual saham mewah utiliti dan perkhidmatan kewangan terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.39 mata kepada 1,618.73 daripada 1,623.12 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 0.39 mata lebih rendah kepada 1,622.73 dan bergerak di antara 1,617.17 dengan 1,622.97 sepanjang sesi pagi.

Bagai keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 639 berbanding 432, manakala 461 kaunter tidak berubah, 935 kaunter tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.57 bilion unit bernilai RM1.58 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd pengambilan untung yang sederhana dijangka dialami hari ini apabila saham Amerika Syarikat susut dalam tempoh semalaman dipengaruhi oleh syarikat teknologi seperti Nvidia dan Microsoft apabila Nasdaq susut dua peratus.

“Bagaimanapun, kami berpandangan pelabur boleh beralih daripada pusat data dalam masa terdekat, dan melihat peluang 'membeli pada harga rendah' ​​dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti namun, pemangkin untuk pusat data yang didorong kecerdasan buatan (masih) utuh.

“Selain itu, kami memilih saham terpilih dalam sektor sarung tangan, telekomunikasi, minyak dan gas dan perkapalan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Di Bursa Malaysia, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing turun empat sen kepada RM10.02 dan RM14.56, manakala Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing kurang satu sen kepada RM4.11 dan RM6.33.

CIMB tidak berubah pada RM7.09.

Antara kaunter aktif, Nova, Hubline dan G3 Global masing-masing meningkat setengah sen kepada 20.5 sen, lapan sen dan empat sen, manakala Berjaya Corporation dan Aimflex masing-masing menokok satu sen kepada 34 sen dan 20.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 41.49 mata kepada 12,540.83; Indeks FBMT 100 turun 41.24 mata kepada 12,114.06 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 44.27 mata kepada 12,919.42.

Indeks FBM 70 menguncup 94.35 mata kepada 18,699.96 namun, Indeks FBM ACE naik 9.13 mata kepada 5,951.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 31.85 mata kepada 17,762.21 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.94 mata kepada 200.09.

Indeks Tenaga menambah 3.43 mata kepada 987.76 dan Indeks Perladangan kurang 0.91 mata kepada 6,953.26.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan