PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DIDAGANGKAN TINGGI MINGGU DEPAN

13/07/2024 10:23 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan, selepas inflasi Amerika Syarikat (AS) mereda lebih daripada jangkaan sehinggakan mencetuskan harapan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mula mengurangkan kadar faedah pada September, kata penganalisis.

Walaupun belum ada jaminan, harga emas lazimnya meningkat apabila kadar faedah menurun dan jatuh apabila kadar bertambah.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2024 naik kepada US$2,408.00 setiap auns troy berbanding US$2,370.50 setiap auns troy yang disaksikan semasa minggu sebelum ini, manakala Ogos 2024 melonjak kepada US$2,424.20 setiap auns troy daripada US$2,386.50 setiap auns troy.

Kontrak September 2024, Oktober 2024, Disember 2024 dan Februari 2025 masing-masing berakhir lebih tinggi pada US$2,424.20 setiap auns troy daripada US$2,386.50 setiap auns troy.

Jumlah dagangan menyusut kepada 21 lot berbanding 42 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 12 kontrak daripada enam kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$2,409.20 setiap auns troy, berdasarkan penetapan tengah haru London Bullion Market Association pada 11 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan