BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 PASARAN > BERITA

RINGGIT MENINGKAT SEMULA, DIBUKA TINGGI SEDIKIT MENJELANG UNJURAN KDNK SUKU KEDUA

19/07/2024 09:26 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Ringgit mencatatkan kenaikan semula untuk dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong sentimen positif menjelang angka unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 Malaysia yang akan dikeluarkan hari ini.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6665/6710 berbanding dolar AS daripada 4.6680/6710 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihaknya menjangkakan angka unjuran awal yang akan dikeluarkan itu adalah lebih baik daripada pertumbuhan 4.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2024.

“Sekiranya angka itu jauh lebih baik daripada KDNK suku pertama, hal itu membawa keadaan yang positif untuk ringgit hari ini,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Kumpulan AmBank telah mengunjurkan KDNK 2S 2024 untuk mencatat pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun dalam keadaan permintaan domestik yang mampan dan eksport yang lebih baik.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dijadual mengeluarkan unjuran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat.

Mohd Afzanizam juga menyatakan terdapat keyakinan bahawa mata wang tempatan itu boleh meningkatkan lagi peningkatan menjelang akhir tahun berikutan potensi penurunan kadar Rizab Persekutuan AS.

Semalam, AmBank Bhd mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 berkembang pada 5.3 peratus tahun ke tahun, didorong permintaan domestik yang mampan dan eksport lebih baik.

Bank itu menjelaskan unjuran awal itu berdasarkan sektor luar yang bertambah baik secara beransur-ansur, pertumbuhan jualan perdagangan beragihan lebih baik, pasaran tenaga kerja yang kukuh serta inflasi rendah dan berterusan pada suku tersebut.

Mohd Afzanizam juga berkata terdapat keyakinan bahawa mata wang tempatan boleh meningkatkan lagi menjelang akhir tahun ini berikutan potensi pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9685/9718 daripada 2.9827/9849 ketika ditutup pada Khamis, dan meningkat berbanding pound British kepada 6.0413/0471 daripada 6.0628/0667.

Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 5.0856/0905 daripada 5.1021/1054.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4716/4754 daripada 3.4807/4832 semasa ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 288.8/289.2 daripada 288.9/289.2.

Ringgit melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.8927/9119 daripada 12.9750/9887 namun, tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.02 dari semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan