BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 DUNIA > BERITA

SINGAPURA SEKAT 95 AKAUN MEDIA SOSIAL DI BAWAH AKTA CAMPUR TANGAN ASING

19/07/2024 03:18 PM

SINGAPURA, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura telah mengarahkan lima platform media sosial untuk menyekat 95 akaun dalam talian yang berkaitan dengan usahawan China, Guo Wengui serta organisasi yang bersekutu dengannya, daripada diakses oleh pengguna akhir di Singapura.

MHA berkata pihaknya mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun (ARD) di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) 2021 (FICA) kepada X, Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok, selepas rangkaian 92 akaun media sosial menyiarkan 120 hantaran mengandungi video mengenai peralihan kepimpinan Singapura.

Kementerian itu berkata hantaran berkenaan, yang diterbitkan antara 17 April dan 10 Mei, disiarkan secara terkoordinasi dan mengandungi naratif yang mendakwa Singapura berada dalam kawalan seorang pelakon asing, dan pelakon asing itu terlibat dalam pemilihan pemimpin generasi keempat Singapura.

"Menteri Dalam Negeri berpendapat bahawa syarat-syarat di bawah seksyen 21(1) FICA telah dipenuhi dan telah mengesahkan pengeluaran ARD kepada lima platform media sosial itu.

"ARD akan memerlukan platform media sosial untuk mengambil semua langkah yang munasabah untuk menamatkan sebarang fungsi perkhidmatan mereka yang membolehkan interaksi antara akaun yang dinyatakan dan pengguna akhir yang berada secara fizikal di Singapura," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ini adalah kali pertama ARD dikeluarkan di bawah FICA sejak undang-undang itu diluluskan pada 2021, lapor media tempatan.

Siasatan MHA mendapati bahawa 92 akaun ini adalah sebahagian daripada rangkaian yang berkaitan dengan Guo, organisasi yang bersekutu dengannya, New Federal State of China (NFSC) dan Himalaya Supervisory Organisation (HSO) manakala tiga lagi milik cabang HSO di Singapura (Himalaya Singapore).

NFSC adalah kumpulan politik dan lobi sayap kanan yang ditubuhkan oleh Guo dan Steve Bannon.

"Kami juga mendapati bahawa menurut kajian oleh Graphika pada 2021, Guo berada di tengah-tengah rangkaian luas entiti media dan akaun media sosial yang saling berkaitan yang menyebarkan maklumat salah di pelbagai platform," kata MHA.

Kementerian itu berkata tindakan terkoordinasi Guo dan rekod penggunaan Singapura untuk mendorong agenda mereka menunjukkan kesanggupan dan keupayaan untuk menyebarkan naratif palsu yang merugikan kepentingan republik itu, dan masa hantaran terkoordinasi yang bertepatan dengan tempoh peralihan kepimpinan politik Singapura menunjukkan perancangan dan tindakan yang disengajakan.

"Oleh itu, terdapat asas untuk mempercayai bahawa rangkaian Guo boleh dan mungkin menggunakan 95 akaun ini untuk melancarkan kempen maklumat bermusuhan (HIC) yang disasarkan secara langsung kepada Singapura. HIC boleh menjejaskan kedaulatan dan perpaduan sosial," katanya.

Reuters melaporkan bahawa Guo, seorang penentang lantang Kerajaan China, disabitkan kesalahan di mahkamah Amerika Syarikat pada 16 Julai atas sembilan daripada 12 pertuduhan jenayah yang dihadapinya, termasuk konspirasi pemerasan dan wire fraud. Guo telah dipenjarakan sejak ditangkap pada Mac 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan