PASARAN > BERITA

Indeks Dolar AS Lemah, Ringgit Terus Mengukuh Pada Sesi Awal

22/08/2024 09:00 AM

Oleh Engku Shariful Azni dan Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Khamis susulan kelemahan indeks dolar AS (DXY) yang merosot ke paras terendahnya setakat tahun ini.

Perkembangan itu, kata penganalisis, mendorong minat belian mata wang lain seperti ringgit.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 4.3615/3830 berbanding dolar AS daripada 4.3750/3830 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata penurunan DXY didorong oleh pengumuman minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu yang menunjukkan sebahagian besar pegawai Fed menganggap pengurangan kadar utama sebanyak 0.25 mata peratusan pada mesyuarat 30-31 Julai lepas adalah pilihan wajar atau berdaya maju.

“Kenyataan ini jelas memaparkan pendirian bank pusat mengenai potensi pengurangan kadar faedah itu. Oleh itu, ringgit dijangka memulakan urus niaga pada paras lebih tinggi hari ini susulan kemerosotan DXY," katanya kepada Bernama.

Pihak Fed dijadual mengadakan mesyuarat penetapan dasar seterusnya pada 17-18 September ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Biro Statistik Tenaga Kerja AS menunjukkan semakan awal senarai gaji bukan perladangan mencatat -818,000 bagi tempoh April 2023 hingga Mac 2024.

Maklumat itu senada dengan pandangan bahawa pasaran tenaga kerja AS tidak kukuh seperti dilaporkan sebelum ini. 

“Berikutan itu, ringgit dijangka terus meningkat dalam jangka masa terdekat kerana jurang antara kadar dana Rizab Persekutuan dan kadar dasar semalaman diunjur mengecil apabila pihak Fed mula mengurangkan kadar faedah itu pada September," katanya. 

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 3.0050/0201 daripada 2.9943/3.000 pada akhir urus niaga Rabu, turun berbanding euro kepada 4.8648/8888 daripada 4.8637/8726 dan rendah berbanding pound Britain pada 5.7096/7378 daripada 5.6993/7097.

Ringgit bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding mata wang ASEAN, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3406/3576 daripada 3.3456/3519 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 281.3/282.9 daripada 282.2/282.9.

Berbanding baht Thailand, ringgit meningkat kepada 12.7120/7825 daripada 12.7373/7676 semalam dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.76 daripada 7.74/7.76 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan