PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dengan Trajektori Positif Minggu Depan

24/08/2024 10:43 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak sejajar dengan kadar asas pasaran tunai minggu depan.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata trend pasaran secara keseluruhannya kekal positif, dengan potensi trajektori meningkat.

“Apabila pelabur mula mengambil kira kemungkinan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat, pulangan ke atas simpanan tradisional dan pelaburan pendapatan tetap seperti bon, cenderung untuk berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya pelabur yang mencari hasil yang lebih tinggi dijangka akan beralih ke rantau Asia Pasifik, dengan Malaysia terutamanya akan mendapat manfaat daripada aliran masuk asing yang meningkat.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak Ogos 2024 dan September 2024, masing-masing naik 16.5 mata kepada 1,641.15 dan 1,622.5, Disember 2024 menambah 15.0 mata kepada 1,627.0 dan Mac 2025 meningkat 15.5 mata kepada 1,513.5.

Jumlah dagangan naik kepada 46,457 lot daripada 38,107 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 49,429 kontrak daripada 48,130 kontrak.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 11.84 mata kepada 1,635.74 daripada 1,623.90 minggu lepas.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan