PASARAN > BERITA

Ringgit Kekalkan Kedudukan Kukuh Ketika Ditutup

26/08/2024 08:01 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran meningkat sebelum ditutup kukuh pada Isnin, melonjak 250 mata asas kepada paras tinggi baharu susulan jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3470/3505 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Terdahulu pada pagi ini, mata wang tempatan mencecah hampir paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan apabila naik kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS telah mengalami penyusutan nilai, dipengaruhi oleh prospek kadar faedah yang lebih rendah di AS.

“Pada masa ini, pasangan USD/MYR dilihat menuju ke paras sokongan serta-merta RM4.3000,” katanya  kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 3.0188/0214 daripada 2.9914/9956 ketika ditutup pada Jumaat lepas, namun meningkat berbanding euro kepada 4.8565/8604 daripada 4.8604/8665.

Ringgit lebih stabil berbanding pound British kepada 5.7324/7370 daripada 5.7391/7463.

Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3367/3396 daripada 3.3410/3454 pada Jumaat lepas, dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/281.8 daripada 282.1/282.7.

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7891/8050 daripada 12.7575/7810 Jumaat minggu lepas, dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.75/7.77 daripada 7.75/7.76.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan