PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Prestasi Kukuh Bursa Serantau

26/08/2024 07:16 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan prestasi kukuh di kebanyakan bursa serantau lain, mendapat rangsangan daripada kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Jumaat yang menunjukkan kecenderungan ke arah dasar monetari lebih akomodatif.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.22 mata atau 0.20 peratus kepada 1,638.96 daripada paras penutup 1,635.74 pada Jumaat minggu lepas.

Pasaran tempatan disokong oleh kenaikan kukuh dalam kebanyakan kaunter berkaitan indeks seperti Malayan Banking Bhd (Maybank), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd.

Ketiga-tiga kaunter ini menyumbang 4.998 mata kepada peningkatan indeks komposit dengan Maybank naik 10 sen kepada RM10.54, TNB melonjak 20 sen kepada RM13.92 dan Press Metal meningkat tujuh sen kepada RM5.21.

Indeks utama dibuka tinggi naik 4.08 mata kepada 1,639.82 dan bergerak antara paras 1,634.72 dan 1,643.95 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 578 berbanding 506, dengan 434 kaunter kekal tidak berubah, 1,008 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.82 bilion unit bernilai RM2.62 bilion daripada 3.53 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberi tahu Bernama indeks utama serantau meningkat susulan harapan penurunan kadar Amerika Syarikat (AS) apabila dolar AS dan hasil bon AS menyusut sementara menunggu pengumuman data inflasi di AS dan Eropah.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.24 peratus kepada 3,396.03, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.06 peratus kepada 17,798.73, Indeks Komposit SSE China menokok 1.15 peratus kepada 2,855.52, manakala Nikkei Jepun turun 0.66 peratus kepada 38,110.22.

Sementara itu, Thong berkata People’s Bank of China mengekalkan kadar kemudahan berian pinjaman jangka sederhana pada 2.30 peratus pada Isnin selepas penurunan 20 mata asas pada Julai.

“Di pasaran domestik, kami optimis dalam berhati-hati meskipun sentimen pasaran yang semakin bertambah baik, kerana jangkaan pelabur biasanya berbeza-beza,” katanya. 

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI bermula positif minggu ini apabila indeks utama mendapat rangsangan daripada kenyataan pengerusi Fed Jerome Powell pada minggu lepas mengenai kemungkinan penurunan faedah akan dilaksanakan pada September. 

“Pada masa depan kami menjangkakan sentimen cenderung meningkat dengan indeks utama stabil di atas paras 1,600 mata.

“Tumpuan utama adalah kepada pengumuman pendapatan korporat yang sedang berlangsung sekarang selain memantau data Keyakinan Penggunan AS yang akan diumumkan esok,” katanya.

Beliau berkata kadar rintangan tempoh terdekat dilihat pada 1,660 mata manakala paras sokongan pada 1,615 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Public Bank dan IHH susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM4.51 dan RM6.31, Hong Leong Bank turun lapan sen kepada RM20.10, manakala CIMB tidak berubah pada RM7.89 dan Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM5.73.

Dalam kalangan kaunter cergas, Elridge Energy naik 4.5 sen kepada 45 sen, Cape EMS dan Velesto meningkat setengah sen masing-masing kepada 38.5 sen dan 21.5 sen, WCT Holdings melonjak 11.5 sen kepada RM1.07 dan MYEG naik satu sen kepada 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 18.50 mata kepada 12,352.31, Indeks FBMT 100 meningkat 19.07 mata kepada 12,032.52, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 30.56 mata kepada 12,292.61 dan Indeks FBM 70 menambah 11.15 mata kepada 17,725.58.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 8.52 mata kepada 5,207.17.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 22.21 mata kepada 7,222.38, Indeks Tenaga naik 13.91 mata kepada 935.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.29 mata kepada 182.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 20.21 mata kepada 19,040.87. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 1.93 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 889.14 juta unit bernilai RM118.08 juta daripada 938.77 juta unit bernilai RM99.32 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 435.91 juta saham bernilai RM150.23 juta daripada 660.10 juta saham bernilai RM238.33 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 177.05 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (267.23 juta), pembinaan (149.95 juta), teknologi (261.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (96.96 juta), hartanah (195.34 juta), perladangan (20.11 juta), REITs (19.86 juta), dana tertutup (23,100), tenaga (155.08 juta), penjagaan kesihatan (44.37 juta), telekomunikasi dan media (35.36 juta), pengangkutan dan logistik (35.78 juta), utiliti (37.51 juta) dan amanah perniagaan (386,900).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan