PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

09/10/2024 06:44 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada harga minyak mentah yang pulih dan kenaikan dalam bursa niaga hadapan getah Shanghai, dalam kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang terhad akibat cuaca buruk di negara pengeluar, kata peniaga.

Beliau berkata data jualan kenderaan di China yang memberangsangkan dan jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) telah menaikkan sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang berikutan ringgit mengukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun pulih pada Rabu, disokong oleh kebimbangan mengenai cuaca lembap yang mengganggu bekalan di peringkat global.

Katanya harga minyak meningkat pada Rabu, selepas mencatatkan penurunan mendadak pada sesi dagangan sebelumnya, walaupun petunjuk kepada peningkatan yang ketara dalam inventori di AS telah mengehadkan kenaikan tersebut.

Sementara itu, katanya laporan pengeluar kenderaan elektrik utama di China mencatatkan jualan yang kukuh sepanjang cuti ‘minggu emas’ sempena Hari Kebangsaan baru-baru ini berikutan langkah-langkah rangsangan ekonomi negara tersebut telah meningkatkan keyakinan dan pasaran automotif memasuki tempoh jualan meningkat.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 11.0 sen kepada 897.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.0 sen kepada 751.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 sebanyak 883 sen sekilogram manakala susu getah pukal mencecah 750 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan