PASARAN > BERITA

Aktiviti Ambil Untung Heret Turun Bursa Malaysia Pada Tengah Hari

16/10/2024 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari Rabu, diasak aktiviti pengambilan untung ketika pasaran dalam proses menerima pelaporan pendapatan korporat terbaharu di Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.61 peratus atau 10.15 mata ke paras 1,631.82 daripada 1,641.97 pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama yang dibuka menokok 1.83 mata kepada 1,643.80, juga bergerak dalam julat 1,630.14 hingga 1,643.80 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Sentimen di pasaran meluas kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 658 berbanding 255 manakala 419 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,161 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.46 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd (MSSB) menjangkakan kalangan peniaga akan terus mengikuti rapat pengumuman data-data ekonomi selepas ini, termasuk jualan runcit dan data pekerjaan AS serta Keluaran Dalam Negara Kasar China.

Susulan penurunan nilai ringgit, peniaga juga berkemunginan mengalihkan tumpuan ke atas sektor berorientasikan eksport seperti sarung tangan getah dan teknologi.

Pelabur pula dijangka akan terus meningkatkan pendedahan terhadap sektor yang mungkin meraih manfaat daripada Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat ini, termasuk pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti, kata firma pembrokeran itu menerusi nota penyelidikannya hari ini.

Dalam pada itu, saham berwajaran tinggi seperti SD Guthrie dan PMetal susut 11 sen masing-masing pada RM4.61 dan RM4.71, YTL Corporation turun 4.0 sen kepada RM2.27, Nestle merosot RM1.70 kepada RM104.30 manakala KLK rugi 28 sen kepada RM21.22. 

Bagi saham aktif, Tanco susut 14 sen kepada RM1.36, Sime Darby Property berkurangan 6.0 sen kepada RM1.49, Capital A naik 4.0 sen kepada 97.5 sen, Berjaya Corporation turun setengah kepada 31.5 sen dan Aizo menambah setengah sen kepada 14.5 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas kehilangan sebanyak 84.45 mata kepada 12,239.75, Indeks FBMT 100 turun 80.11 mata kepada 11,944.76, Indeks FBM Emas Shariah merosot 102.68 mata kepada 12,131.15, Indeks FBM 70 menguncup 138.82 mata kepada 17,464.98 dan Indeks FBM ACE susut 17.55 mata kepada 5,057.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 86.25 mata kepada 19,328.74, Indeks Perladangan turun 64.54 mata kepada 7,202.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.44 mata kepada 174.19 dan Indeks Tenaga menguncup 10.10 mata kepada 846.58.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa Pan Malaysia Holdings Bhd (singkatan nama saham sebelum ini PMHLDG) telah bertukar kepada nama baharu Exsim Hospitality Bhd (EXSIMHB). 

Saham-saham syarikat itu akan diniagakan dan disebut harga dengan nama baharu berkuat kuasa mulai jam 9 pagi pada 18 Okt, 2024 (Jumaat) dengan nombor stok kekal tidak berubah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan