PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Sejajar Dengan Kebanyakan Pasaran Serantau

16/10/2024 07:50 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, sejajar dengan prestasi lemah yang dialami pasaran serantau berikutan petunjuk negatif daripada ekuiti global dalam tempoh semalaman dengan penjualan besar-besaran saham teknologi, kata penganalisis.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.34 mata atau 0.56 peratus kepada 1,632.63 daripada 1,641.97 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.83 mata lebih tinggi kepada 1,643.80 sekali gus menjadi paras tertinggi harian, dan susut ke paras rendah 1,629.81 bagi dagangan hari ini.

Keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 701 berbanding 340, manakala 505 kaunter kekal tidak berubah, 947 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM3.16 bilion daripada 2.87 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ramai pelabur yakin penjualan saham melibatkan seperti ASML Holding NV (ASML), Taiwan Semiconductor Manufacturing Company Ltd (TSMC) dan Nvidia mencerminkan keraguan yang semakin meningkat terhadap lonjakan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata penjualan saham dalam syarikat itu, yang turut menjejaskan dagangan saham teknologi, turut menandakan kebimbangan yang bertambah terhadap ekonomi global.

ASML, pembekal terkemuka kepada pembuat cip utama seperti TSMC, Intel dan Samsung, mengalami penyusutan sebanyak 16 peratus selepas mengeluarkan unjuran jualan yang rendah, memberi kesan ketara kepada keseluruhan sektor semikonduktor.

Bagi bursa tempatan, Thong berkata firma pembrokeran ekuiti dalam talian itu mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap pasaran memandangkan turun naik dan ketidaktentuan yang semakin ketara dalam persekitaran makro.

Beliau berkata bagaimanapun, indeks penanda aras kekal disokong dengan baik di atas paras 1,630.

“Walaupun berlaku penjualan hari ini, kami percaya keadaan itu mewujudkan permulaan yang menarik bagi pembelian semasa harga murah, memandangkan asas ekonomi yang teguh menyokong prospek jangka masa panjang FBM KLCI.

“Kami mengekalkan sasaran mingguan kami pada 1,630 hingga 1,650,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata memandangkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh, penurunan baru-baru ini mungkin memberikan peluang pembelian.

“Antara komponen FBM KLCI, sektor pengguna muncul sebagai peneraju kenaikan, menunjukkan pertumbuhan ekonomi teguh memberi manfaat kuasa beli dan keyakinan pengguna,” katanya.

Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi  SD Guthrie dan Press Metal masing-masing turun 11 sen kepada RM4.61 dan RM4.71, KL Kepong merosot 46 sen kepada RM21.04, manakala Sime Darby kurang 4.0 sen kepada RM2.38 dan Sunway turun 6.0 sen kepada RM4.39.

Bagi kaunter aktif, YTL Corp turun 1.0 sen kepada RM2.30, WCT Holdings kurang 3.5 sen kepada 91 sen, Sime Darby Property turun 5.0 sen kepada RM1.50, dan Capital A meningkat 2.0 sen kepada 95.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 55.25 mata kepada 12,268.95, Indeks FBMT 100 kurang 53.05 mata kepada 11,971.82, Indeks FBM Emas Syariah turut 68.27 mata kepada 12,165.56, Indeks FBM 70 menguncup 20.64 mata kepada 17,583.16, dan Indeks FBM ACE susut 14.64 mata kepada 5,060.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 99.64 mata kepada 19,315.35, Indeks Perladangan turun 63.87 mata kepada 7,200.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.65 mata kepada 173.98, dan Indeks Tenaga menguncup 7.32 mata kepada 849.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.66 bilion unit bernilai RM2.93 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM2.48 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran sebanyak 853.42 juta unit bernilai RM148.88 juta berbanding 818.81 juta unit bernilai RM125.52 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 272.28 juta unit bernilai RM83.56 juta daripada 475.54 juta unit bernilai RM166.16 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 266.39 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (317.42 juta), pembinaan (160.22 juta), teknologi (152.01 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (100.04 juta), hartanah (292.80 juta), perladangan (25.57 juta), REIT (19.06 juta), dana tertutup (16,700), tenaga (98.74 juta), penjagaan kesihatan (48.65 juta), telekomunikasi dan media (66.02 juta), pengangkutan dan logistik (37.15 juta), utiliti (86.11 juta) serta amanah perniagaan (49,100).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan