PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Lepasi Paras 1,600

01/11/2024 07:01 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kenaikan dalam saham perladangan, SD Guthrie, didorong oleh lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) ke paras tertinggi bagi tempoh 28 bulan hari ini, menaikkan indeks barometer Bursa Malaysia untuk melepasi paras psikologi 1,600 pada Jumaat.

Bagaimanapun, tekanan jualan jelas kelihatan dalam saham perbankan, mengehadkan kenaikan indeks secara keseluruhan dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.1 mata, pada 1,603.98 daripada paras penutup pada 1,601.88 pada Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi naik 10.82 mata kepada 1,591.06, bergerak antara 1,589.27 dan 1,607.04 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 538 berbanding 422 dengan 482 kaunter tidak berubah, 933 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung dagangan. 

Jumlah dagangan susut kepada 2.14 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 2.52 bilion unit bernilai RM2.96 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata niaga hadapan MSM melepasi RM4,900 setan hari ini, menarik minat lebih ramai pelabur dan menyokong daya tahan pasaran terhadap cabaran ekonomi global.

Kenaikan harga MSM selama tiga hari berturut-turut, dirangsang oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dalam persekitaran jangkaan bahawa permintaan dari Amerika Syarikat akan meningkat dan peningkatan output dijangka akan ditangguh oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Beliau berkata pelabur menumpukan perhatian kepada kenaikan hasil bon Perbendaharaan Ameria Syarikat (AS) dengan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin tidak akan menurunkan kadar faedah dalam persekitaran data ekonomi AS yang kukuh.

Pelabur juga menjangkakan lebih banyak langkah rangsangan akan dilancarkan oleh China untuk melonjakkan ekonominya walaupun sektor pembuatan negara itu menunjukkan pertumbuhan dengan Indeks Pengurus Pembelian mencecah 50.1 pada bulan Oktober, mengakhiri penurunan lima bulan berturut-turut.

Di peringkat tempatan, SD Guthrie mendahului kaunter untung dalam kalangan saham wajaran tinggi di Brusa Malaysia, naik 35 sen atau 7.6 peratus kepada RM4.95.

Public Bank menambah empat sen kepada RM4.46, YTL Power melonjak sembilan sen kepada RM3.20, Axiata meningkat lima sen kepada RM2.31 dan IOI Corp menokok tujuh sen kepada RM3.84.

Bagaimanapun, Maybank merosot 10 sen kepada RM10.40, Tenaga Nasional menguncup 14 sen kepada RM13.90.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, MyEG dan TWL Holdings menambah 0.5 sen, masing-masing kepada 84 sen dan 3.0 sen, Elridge Energy naik empat sen kepada 48 sen, Johor Plantations meningkat lepan sen kepada RM1.13 manakala Bina Puri jatuh enam sen kepada 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 25.11 mata kepada 12,128.34, Indeks FBMT 100 naik 25.69 mata kepada 11,839.7, Indeks FBM Emas Shariah menokok 40.28 mata kepada 12,102.44, Indeks FBM 70 melonjak 70.06 mata kepada17,678.93 manakala Indeks FBM ACE merosot 9.30 mata kepada 4,996.35.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 202.60 mata kepada 7,456.37, Indeks Tenaga naik 3.55 mata kepada 838.80, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 81.92 mata kepada 19,004.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.60 mata kepada 173.57. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.23 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 1.46 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 579.27 juta unit bernilai RM88.66 juta daripada 662.42 bilion unit bernilai RM105.06 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 331.46 juta saham bernilai RM106.75 juta daripada 434.67 juta saham bernilai RM158.01 juta sebelum itu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 178.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (195.03 juta), pembinaan (116.61 juta), teknologi (140.51 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (90.67 juta), hartanah (163.66 juta), perladangan (76.98 juta), REITs (14.29 juta), dana tertutup (56,600), tenaga (94.37 juta), penjagaan kesihatan (56.11 juta), telekomunikasi dan media (29.75 juta), pengangkutan dan logistik (20.75 juta), utiliti (51.19 juta) dan amanah perniagaan (205,100).

-- BERNAMA   


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan