PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

06/11/2024 10:07 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, terjejas ekoran prestasi kukuh dolar Amerika Syarikat (AS) dan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, kata penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata susulan kejayaan Donald Trump pada pilihan raya presiden AS, berlaku peralihan daripada aset lebih selamat seperti emas kepada pelaburan lebih berisiko seperti saham.

“Hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi dan dolar lebih kukuh turut memberi tekanan kepada emas. Namun, saya berpendapat ia hanya sementara.

“Sebaik sahaja Trump memperkenalkan rancangan tarifnya, saya menjangkakan emas akan kembali meningkat kerana ketidaktentuan mana-mana ekonomi, akan sekali lagi menarik pelabur.” katanya kepada Bernama.

Menurut Innes, hasil Perbendaharaan AS hanya meningkat 11 mata asas, dengan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta masih berharapkan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS esok, yang akan mengehadkan pergerakan dolar minggu ini. 

Kontrak bulan semerta November 2024 susut kepada US$2,741 setiap auns troy daripada US$2,753.50 setiap auns troy pada Selasa, dan Disember 2024 merosot kepada US$2,753.90 setiap auns troy daripada US$2,766.40 setiap auns troy pada sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup rendah pada US$2,753.90 setiap auns troy berbanding US$2,766.40 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 19 lot daripada sembilan lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 26 kontrak daripada 17 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 5 Nov, harga emas fizikal kekal pada US$2,742.55 setiap auns troy. 

-- BERNAMA

  

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan