PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

15/11/2024 06:20 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh peningkatan keyakinan bahawa China akan meningkatkan langkah rangsangan ekonomi bagi menyokong ekonominya, kata seorang peniaga. 

Beliau berkata peniaga memberikan reaksi positif terhadap penangguhan penguatkuasaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.

"Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah dan ringgit yang kukuh berbanding dolar AS dalam persekitaran pasaran niaga hadapan getah serantau yang bercampur-campur," katanya.

Peniaga itu berkata Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan penangguhan EUDR selama setahun lagi, bersama-sama dengan pindaan lain agar syarikat boleh mematuhi undang-undang yang memastikan produk dijual di EU tidak bersumberkan daripada proses penyahhutanan.

Sementara itu, beliau berkata Indeks Harga Pengeluar (IHP) AS naik 2.4 peratus tahun ke tahun pada Oktober.

"Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell berkata, kekuatan ekonomi AS memberi lebih banyak masa kepada bank pusat untuk membincangkan potensi penurunan kadar faedah,” katanya.

Menurut Lembaga Getah Malaysia, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 3.0 sen kepada 848.50 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal naik sebanyak 0.5 sen kepada 677.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 857.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 680.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan