PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Indeks Komposit Berada Di Bawah Paras 1,600

15/11/2024 06:55 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan penurunan hari ini dengan indeks utama ditutup pada paras terendah intra hari berikutan ketiadaan pemangkin belian di tengah-tengah kelemahan pasaran serantau ekoran ketidaktentuan ekonomi global dan kebimbangan geopolitik. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.24 mata untuk ditutup kepada 1,592.44 daripada paras penutup 1,600.68 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.75 mata kepada 1,601.43, mencecah paras tertinggi intra hari 1,604.51 pada sesi awal dagangan, sebelum menyusut sepanjang tempoh berbaki sesi dagangan hari ini.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 563 berbanding 378, manakala 501 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 21 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.68 bilion unit bernilai RM2.65 bilion berbanding 3.14 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata jualan dalam saham MR DIY dan MISC serta aktiviti pengambilan untung dalam saham perladangan telah mengheret turun indeks.

 "Indeks petunjuk pasaran tempatan dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global, kebimbangan terhadap kesan daripada dasar baharu AS dan tekanan jualan dalam sektor khusus," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata meskipun prestasi pasaran yang lemah, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan data ekonomi yang kukuh.

“Sebagai contoh, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang teguh manakala di AS data terkini menunjukkan penurunan dalam tuntutan pengangguran baharu, mencerminkan keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan.

"Tuntutan pengangguran awal AS menyusut sebanyak 4,000 kepada 217,000 pelarasan musim untuk minggu berakhir 9 November," katanya

Beliau berkata tumpuan seterusnya akan beralih kepada pengumuman laporan jualan runcit AS malam ini yang dijangka mencatatkan pertumbuhan mampan dan akan memberikan gambaran jelas mengenai sentimen pengguna di ekonomi terbesar dunia itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MR DIY turun 28 sen kepada RM1.82, MISC susut 35 sen kepada RM7.60, Maxis jatuh lapan sen kepada RM3.44, CIMB berkurangan satu sen kepada RM8.19, manakala Maybank menambah enam sen kepada RM10.36

Dalam kalangan saham cergas, Metro Healthcare yang baru disenaraikan naik setengah sen kepada 25.5 sen, Bumi Armada meningkat 3.5 sen kepada 53.5 sen, Cape EMS menambah 1.5 sen kepada 39.5 sen, PUC naik setengah sen kepada empat sen, manakala 3REN tidak berubah pada 40.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah turun 86.55 mata kepada 12,023.30, Indeks FBM Emas susut 40.12 mata kepada 12,105.32, Indeks FBMT 100 jatuh  39.68 mata kepada 11,806.20, manakala FBM75 meningkat 5,147.16 dan Indeks FBM 70 naik 18.60 mata kepada 17,818.88.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.42 mata kepada 168.27, Indeks Tenaga susut 0.12 satu mata kepada 827.17, Indeks Perladangan turun 58.01 mata kepada 7,626.18, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 62.60 mata kepada 19,156.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.39 bilion daripada 1.81 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 811.06 juta unit bernilai RM98.18 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM128.34 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 534.84 juta unit bernilai RM163.10 juta daripada 306.31 juta unit bernilai RM121.64 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 262.00 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (265.93 juta), pembinaan (65.05 juta), teknologi (139.13 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (83.48 juta), hartanah (136.24 juta), perladangan (62.32 juta), REITs (12.13 juta), dana tertutup (19,500), tenaga (161.82 juta), penjagaan kesihatan (43.96 juta), telekomunikasi dan media (27.08 juta), pengangkutan dan logistik (35.60 juta), utiliti (41.30 juta), dan amanah perniagaan (812,300).

 

-- BERNAMA   

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan