KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- IHH dan Petronas Dagangan terus menyokong indeks utama Bursa Malaysia di atas paras 1,600 semasa akhir dagangan sesi pagi pada Selasa, walaupun dalam keadaan penjualan saham bermodal sederhana yang menyebabkan keseluruhan pasaran tidak menentu.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.44 mata atau 0.47 peratus kepada 1,604.89 daripada 1,597.45 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.05 mata lebih tinggi kepada 1,600.50 dan seterusnya bergerak antara 1,596.03 hingga 1,605.33 sepanjang sesi pagi.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 509 berbanding 334 manakala 443 kaunter kekal tidak berubah, 1,176 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.6 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.
Bursa serantau juga tidak menentu sekali gus memberikan petunjuk yang terhad kepada pasaran domestik, kerana sebilangan pelabur tidak memasuki pasaran menjelang data ekonomi AS utama yang akan dikeluarkan minggu ini.
Minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) dan data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS menjadi perhatian pelabur kerana mereka akan menilai sama ada kadar pengurangan kadar faedah akan perlahan berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden, serta cadangan tarifnya.
Pelantikan Pengurus Dana Lindung Nilai Scott Bessent sebagai Setiausaha Perbendaharaan AS yang baharu untuk menerajui dasar ekonomi penting telah memberikan kelegaan kepada pasaran, dengan pelabur berharap kepimpinannya dapat mengurangkan tekanan akibat dasar tarif yang agresif.
Di peringkat tempatan, saham berwajaran tinggi IHH menerajui aliran menaik FBM KLCI, mencatatkan lonjakan 25 sen kepada RM7.25 susulan keyakinan terhadap pendapatan dalam sektor penjagaan kesihatan, diikuti Petronas Dagangan yang meningkat 90 sen kepada RM18.32 selepas merekodkan prestasi keuntungan bersih suku ketiga yang memberangsangkan.
Petronas Chemicals dan Sime Darby masing-masing menambah enam sen kepada RM4.86 dan RM2.30, manakala Public Bank naik tiga sen kepada RM4.48.
Antara saham aktif, Zentech kekal tidak berubah pada 1.0 sen, 3Ren menambah 2.0 sen kepada 41.5 sen, manakala MYEG dan Lay Hong masing-masing menguncup setengah sen kepada 91 sen dan 37 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.26 mata kepada 12,189.58, Indeks FBMT 100 naik 18.49 mata kepada 11,897.14 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 28.21 mata kepada 12,138.15.
Indeks FBM 70 merosot 106.85 mata kepada 17,951.07 dan Indeks FBM ACE kurang 17.79 mata kepada 5,145.66.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 8.34 mata kepada 7,509.99 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.50 mata kepada 19,282.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menguncup 0.06 mata kepada 172.83 dan Indeks Tenaga turun 7.73 mata kepada 821.75.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial