PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP TINGGI

12/12/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, dipacu keyakinan terhadap potensi penurunan kadar Rizab Persekutuan berikutan pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) malam tadi.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi November naik 2.7 peratus daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya manakala IHP teras kekal pada 3.3 peratus bagi bulan ketiga berturut-turut daripada 3.2 peratus pada Ogos, menunjukkan kadar inflasi yang kekal tinggi. 

Kontrak bulan semerta Disember 2024 meningkat kepada US$2,720.80 setiap auns troy daripada US$2,696.50 setiap auns troy pada Rabu manakala Januari 2025 naik kepada US$2,733.90 setiap auns troy daripada US$2,707.40 setiap auns troy sebelum ini.

Sementara itu, kontrak Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025 ditutup lebih tinggi kepada US$2,746.50 setiap auns troy daripada US$2,720.10 semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 104 lot daripada 59 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka naik kepada 121 kontrak daripada 76 kontrak sebelumnya.

Menurut penetapan harga London Bullion Market Association pada 11 Disember, harga emas fizikal berada pada US$2,705.45 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan