KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah apabila pelabur mengambil keuntungan dan kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) esok.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.23 peratus atau 3.82 mata kepada 1,604.93 daripada 1,608.75 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks berkenaan dibuka 0.13 mata lebih tinggi kepada 1,608.88 dan bergerak antara 1,603.92 dan 1,609.43 sepanjang sesi pagi.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 624 berbanding 335 manakala 472 kaunter tidak berubah, 1044 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion unit bernilai RM1.15 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun sentimen di Amerika Syarikat (AS) bercampur-campur, pasaran tempatan dijangka diniagakan mengukuh dengan peniaga memfokuskan kepada saham berkaitan rantaian bekalan pusat data manakala sektor teknologi dan perbankan dijangka penerima manfaat utama daripada persekitaran dolar AS yang lebih teguh.
"Selain itu, kami turut memihak kepada sektor penjagaan kesihatan terutama sarung tangan berikutan kami menjangka pendapatan akan meningkat pada masa depan.
"Sementara itu, kami turut optimis mengenai saham berkaitan Malaysia Timur, yang disokong oleh pemulihan harga saham dan jangkaan aliran masuk dana ke rantau ini," katanya menerusi nota.
Dari segi teknikal, ia menjangkakan paras rintangan FBM KLCI berada pada sekitar 1,623-1,628, dengan paras sokongan pada 1,588-1,593.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PPB Group susut 34 sen kepada RM12.24, YTL Power International turun 8.0 sen kepada RM3.61, Nestle rendah RM1.30 hingga RM98.70, IHH Healthcare turun 8.0 sen kepada RM7.09 dan PChem rendah 5.0 sen kepada RM4.92.
Bagi saham paling aktif, TopVision Eye Specialist meningkat 2.5 sen kepada 35.5 sen. Syarikat itu mula disenaraikan dengan kukuh di Pasaran ACE pada 39 sen sesaham, mencatatkan premium 18.2 peratus daripada harga terbitannya 33 sen.
Kejayaan penyenaraian sulung penggiat perkhidmatan penjagaan mata perubatan ini di Pasaran ACE menandakan pemindahan rasminya daripada Pasaran LEAP, yang tersenarai pada 2018.
Antara saham paling aktif, MYEG meningkat 1.5 sen kepada 96 sen, Supermax susut 1.0 sen kepada RM1.09, Hubline rendah setengah sen kepada 6.0 sen dan Top Glove berkurangan 4.0 sen kepada RM1.37.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 42.79 mata kepada 12,313.28, Indeks FBM Emas Syariah turun 36.79 mata kepada 12,335.40 dan Indeks FBM ACE berkurangan 11.21 mata kepada 5,298.95.
Indeks FBMT 100 menyusut 41.87 mata kepada 11,995.41 manakala Indeks FBM 70 susut 112.99 mata kepada 18,459.22.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 58.14 mata kepada 19,059.29,
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.83 mata kepada 174.94 manakala Indeks Perladangan naik 18.25 mata kepada 7,653.30 dan Indeks Tenaga rendah 1.48 mata kepada 818.52.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial