KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengurangkan penyusutan awalnya untuk ditutup rendah pada Isnin susulan aktiviti pembelian pada saat-saat akhir yang turut memaparkan jualan global dan menjejaskan pasaran utama serantau, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.11 peratus atau 1.90 mata kepada 1,606.85 daripada paras 1,608.75 pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.13 mata lebih tinggi pada 1,608.88 dan bergerak dalam julat 1,603.92 dan 1,609.43 sepanjang dagangan hari ini.
Pasaran secara meluas juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 624 berbanding 335 manakala 472 kaunter tidak berubah, 1,044 tidak didagangkan dan 16 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.16 bilion unit bernilai RM2.45 bilion berbanding 2.79 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur lebih berhati-hati menjelang jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) atau Fed bertindak menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Rabu susulan kebimbangan terhadap inflasi yang terus menyelubungi prospek kadar jangka panjang Fed.
Data bagi November juga menunjukkan pengeluaran perindustrian China mencatat pertumbuhan seperti dijangkakan, disokong oleh langkah rangsangan baru-baru ini untuk meningkatkan aktiviti perniagaan.
Jualan runcit lebih rendah daripada jangkaan awal yang memaparkan sentimen perbelanjaan pengguna terus lemah.
Di peringkat domestik, beliau berkata ekuiti Malaysia memaparkan peluang pelaburan yang didorong oleh status saham-saham yang dinilai rendah, pendapatan korporat lebih mengukuh serta keadaan ekonomi yang lebih baik.
"Bagaimanapun, indeks penanda aras dijangka kekal dalam fasa konsolidasi atau penyatuan untuk jangka terdekat, memaparkan dagangan berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan global yang terus meruncing.
"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam julat 1,595-1,615 bagi dagangan minggu ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun susut, prestasi indeks komposit kekal di atas paras sokongan psikologi pada 1,600.
"Aktiviti pasaran kekal rancak dengan jumlah dagangan sebanyak 3.1 bilion saham," katanya.
Beliau berkata Indeks Teknologi terus mendahului keuntungan dengan mencatat peningkatan hampir 0.9 peratus dalam dagangan hari ini.
Keadaan itu disokong oleh keyakinan pasaran terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang diunjur berpihak kepada sektor teknologi.
Selain itu, pertumbuhan jualan semikonduktor yang kukuh pada 2024 turut menyumbang dari segi sokongan terhadap prospek positif sektor berkenaan.
Saam wajaran tinggi menyaksikan Public Bank turun 3.0 sen kepada RM4.54, Kumpulan PPB susut 34 sen kepada RM12.24, CIMB berkurangan 3.0 sen kepada RM8.10 manakala Maybank dan YTL Corporation masing-masing menguncup 2.0 sen kepada RM10.12 dan RM2.15.
Bagi saham aktif, MYEG meraih 1.5 sen kepada 96 sen, JCY menokok 3.0 sen kepada 51.5 sen, Top Glove susut 6.0 sen kepada RM1.35 dan Supermax naik 1.0 sen kepada RM1.11.
Saham yang disenaraikan pertama kali di Pasaran ACE, TopVision Eye Specialist meningkat 1.0 sen kepada 34 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 27.89 mata kepada 12,329.18, Indeks FBM Emas Shariah susut 18.05 mata kepada 12,354.14 dan Indeks FBM ACE Index berkurangan 1.84 mata kepada 5,308.32.
Indeks FBMT 100 berkurangan 25.95 mata kepada 12,011.33 dan Indeks FBM 70 turun 82.71 mata kepada 18,489.50.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 64.86 mata kepada 19,052.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.67 mata kepada 175.10 namun Indeks Perladangan menokok 18.69 mata kepada 7,653.74 dan Indeks Tenaga susut 0.97 mata kepada 818.03.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.18 bilion berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Jumaat.
Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 998.51 juta unit bernilai RM126.58 juta daripada 990.61 juta unit bernilai RM138.67 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 453.29 juta unit bernilai RM140.90 juta berbanding 350.33 juta unit bernilai RM113.46 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 170.37 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (233.99 juta), pembinaan (92.44 juta), teknologi (450.30 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (94.50 juta), hartanah (222.85 juta), perladangan (26.43 juta), REIT (16.57 juta), dana tertutup (38,000), tenaga (84.85 juta), penjagaan kesihatan (151.35 juta), telekomunikasi dan media (38..21 juta), pengangkutan dan logistik (63.71 juta), utiliti (58.09 juta) manakala amanah perniagaan (28,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial