KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa sekali gus meneruskan penurunan semalam, kerana pelabur menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada pukul 9.21 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.24 mata kepada 1,603.61 daripada 1,606.85 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 1.59 mata lebih rendah kepada 1,605.26.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 251 berbanding 172, manakala 358 kaunter kekal tidak berubah, 1,690 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 412.03 juta unit bernilai RM155.37 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup dengan prestasi tidak menentu sekali lagi kerana sentimen kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS selama dua hari bermula hari ini.
Pada masa sama Indeks Perindustrian Dow Jones ditutup rendah, Nasdaq meningkat 247 mata kepada satu lagi rekod tertinggi.
Sementara itu, hasil 10 tahun AS kekal tinggi pada 4.403 peratus menunjukkan pasaran mungkin telah mengambil kira pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijangkakan.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) susut kepada hampir paras terendah dalam dua minggu kerana pelabur kekal berwaspada dengan prestasi ekonomi China yang tidak menentu, berikutan indeks Harga Rumah dan data jualan runcit terkini menunjukkan prestasi buruk, sekali gus menimbulkan lagi tekanan deflasi.
Di peringkat domestik, FBM KLCI sedikit turun dalam keadaan prestasi rendah serantau apabila penjualan oleh dana asing berterusan.
"Bagaimanapun, kami mendapati beberapa aktiviti pembelian dalam pasaran tempatan, menunjukkan paras 1,600 kekal sebagai sokongan serta-merta ketika ini. Oleh itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,605 hingga 1,615 hari ini," katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium turun 7.0 sen kepada RM4.96, Sime Darby merosot 6.0 sen kepada RM2.37, Hong Leong Bank turun 18 sen kepada RM20.26, manakala CelcomDigi, YTL Power International dan Petronas Chemicals masing-masing susut 3.0 sen kepada RM3.56, RM3.64 dan RM4.95.
Bagi saham paling aktif, Vanzo menambah 3.5 sen kepada 18.5 sen. Zen Tech kekal pada 1.0 sen, MYEG naik setengah sen kepada 96.5 sen, MNC Wireless meningkat 2.0 sen kepada 13 sen dan JCY bertambah 1.0 sen kepada 52.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 16.88 mata kepada 12,311.30, Indeks FBM Emas Shariah kurang 11.00 mata kepada 12,343.14, dan Indeks FBM ACE susut 1.80 mata kepada 5,306.52.
Indeks FBMT 100 kurang 17.30 mata kepada 11,994.03 dan Indeks FBM 70 menguncup 1.35 mata kepada 18,488.15.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 46.53 mata kepada 19,006.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.68 mata kepada 174.42, namun Indeks Perladangan naik 11.25 mata kepada 7,664.99, dan Indeks Tenaga mengurang 2.21 mata kepada 816.82.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial