PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Tinggi Mendapat Rangsangan Daripada Kenaikan Harga Minyak

24/12/2024 07:11 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Ringgit mengekalkan trajektori menaiknya untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS dan beberapa mata wang utama lain, mendapat rangsangan terutamanya daripada kenaikan harga minyak. 

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.4845/4900 berbanding dolar AS, meningkat daripada paras penutup 4.4870/4925 pada Isnin.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi ringgit dipacu sebahagiannya oleh pemulihan harga minyak mentah Brent yang meningkat melepasi paras  US$73 setong. 

Beliau berkata aliran meningkat dalam pasaran minyak itu adalah disebabkan kebimbangan kemungkinan lebihan bekalan dan penurunan permintaan pada tahun depan. 

Selain itu, prestasi pasaran ekuiti tempatan yang kukuh susulan pelarasan portfolio akhir tahun juga membantu meningkatkan permintaan terhadap ringgit, katanya. 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan permintaan terhadap ringgit menyusut dalam minggu dagangan yang lengang ini apabila ramai peniaga mula bercuti sempena sambutan perayaan Krismas yang diraikan esok dan Tahun Baharu. 

"Kami juga menjangkakan permintaan tinggi terhadap saham di Amerika Syarikat minggu ini susulan penjualan besar-besaran minggu lepas, yang boleh mengehadkan minat terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Ringgit juga mengukuh berbanding beberapa mata wang utama lain

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8547/8586 daripada paras penutup 2.8636/8673 pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 5.6209/6278 daripada 5.6384/6453 dan menokok berbanding euro kepada 4.6603/6660 daripada 4.6692/6749. 

Bagaimanapun ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2979/3024 daripada 3.3095/3138 sebelumnya dan meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.68 daripada 7.67/7.68, tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 276.9/277.4 daripada 276.9/277.5 dan turun berbanding baht Thai kepada 13.1283/1517 daripada 13.1137/1360. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan