KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, didorong oleh belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran aktiviti memperelokkan akaun.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.91 mata atau 0.30 peratus kepada 1,633.05 daripada 1,628.14 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.0 mata kepada 1,626.14 dan diniagakan dalam julat 1,624.92 hingga 1,633.53 pada sesi tersebut.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 444 berbanding 436 manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,038 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion unit bernilai RM903.23 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menekankan peluang dagangan di kaunter berkaitan solar seperti Solarvest berikutan pemilihan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membangunkan loji solar dengan kapasiti 500 megawatt di Kedah di bawah program solar skala besar kelima.
“Sementara itu, kami mengekalkan prospek positif untuk sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan yang dijangka mendapat manfaat daripada persekitaran dolar AS yang tinggi.
“Bagi pendekatan yang lebih berhati-hati, kami percaya sektor penjagaan kesihatan serta produk dan perkhidmatan pengguna, menawarkan kestabilan dalam persekitaran turun naik pada akhir tahun, disokong oleh aktiviti memperelokkan akaun yang berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah lapan sen kepada RM10.18, IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM7.26, CelcomDigi meningkat satu sen kepada RM3.66, Press Metal menokok dua sen kepada RM4.90 manakala Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.54.
CIMB dan TNB, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM8.13 dan RM14.72.
Dalam saham aktif, Vanzo naik satu sen kepada 21 sen, JCY International meningkat setengah sen kepada 57.5 sen, Supermax menambah tiga sen kepada RM1.31 manakala SNS Network merosot satu sen kepada 66 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 44.39 mata kepada 12,526.14, Indeks FBM Emas Shariah naik 55.14 mata kepada 12,544.23 dan Indeks FBMT 100 menambah 41.39 mata kepada 12,206.56.
Indeks FBM 70 naik 81.24 mata kepada 18,786.91 manakala Indeks FBM ACE meningkat 1.90 mata kepada 5,352.07.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 12.47 mata kepada 19,054.43, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.64 mata kepada 175.31 dan Indeks Tenaga meningkat 0.19 mata kepada 824.84.
Sementara itu, Indeks Perladangan merosot 4.65 mata kepada 7,598.36.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial