PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Dipacu Momentum Belian Dalam Saham Wajaran Tinggi Terpilih

30/12/2024 06:45 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari kedua terakhir 2024 dengan prestasi positif, dipacu momentum belian dalam saham wajaran tinggi terpilih yang didahului Maybank dan Petronas Chemicals ketika institusi tempatan memperelok akaun menjelang akhir tahun.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.54 mata atau 0.59 peratus kepada 1,637.68 daripada 1,628.14 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.0 mata lebih rendah kepada 1,626.14 dan bergerak antara 1,624.92 hingga 1,638.56 sepanjang dagangan hari ini.

Keseluruhan pasaran juga positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 614 berbanding 452, manakala 526 kaunter kekal tidak berubah, 820 kaunter tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan susut kepada 2.55 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 2.87 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Jumaat lepas.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata FBM KLCI melonjak ke zon positif, didorong oleh prospek pelaburan langsung asing yang cerah, kemajuan dalam sektor teknologi, dan keuntungan korporat yang kukuh, semuanya disokong oleh unjuran ekonomi yang optimistik.

“Ketika ketidakpastian mengenai tarif, keyakinan kekal teguh bahawa beberapa negara Asia boleh meraih manfaat daripada penyusunan semula rantai bekalan. Fokus kerajaan domestik ke arah kebangkitan teknologi semakin memacu sentimen positif bagi bursa saham tempatan, mencerminkan daya tahan dan momentum masa depan FBM KLCI,” katanya kepada Bernama.

Antara saham berat, Maybank melonjak 14 sen kepada RM10.24, Petronas Chemicals naik 9.0 sen kepada RM5.10, TNB meningkat 10 sen kepada RM14.84, Hong Leong Bank naik enam sen kepada RM20.42, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada RM8.15 dan RM7.23, manakala Public Bank turun tiga sen kepada RM4.54.

Bagi saham aktif, Vanzo menokok satu sen kepada 21 sen, JCY International naik setengah sen kepada 57.5 sen, Sime Darby Property menambah sembilan sen kepada RM1.70, Supermax meningkat enam sen kepada RM1.34, dan TWL Holdings mendatar pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 76.17 mata kepada 12,557.92, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 89.75 mata kepada 12,578.84, dan Indeks FBMT 100 menokok 72.01 mata kepada 12,237.18.

Indeks FBM ACE turun 4.30 mata kepada 5,345.87 dan Indeks FBM 70 melonjak 113.56 mata kepada 18,819.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 64.95 mata kepada 19,106.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.32 mata kepada 175.99, Indeks Tenaga menokok 1.89 mata kepada 826.54 dan Indeks Perladangan meningkat 16.14 mata kepada 7,619.15.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.42 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 1.36 bilion unit bernilai RM1.86 bilion Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran pula menguncup kepada 702.78 juta unit bernilai RM69.42 juta daripada 919.28 juta unit bernilai RM85.11 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 432.90 juta unit bernilai RM136.36 juta daripada 588.15 juta unit bernilai RM131.65 juta Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 161.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (284.94 juta), pembinaan (164.45 juta), teknologi (246.31 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (39.81 juta), hartanah (249.71 juta), perladangan (29.48 juta), REIT (13.67 juta), dana tertutup (24,000), tenaga (62.67 juta), penjagaan kesihatan (65.57 juta), telekomunikasi dan media (12.99 juta), pengangkutan dan logistik (26.83 juta), utiliti (58.18 juta), serta amanah perniagaan (64,200).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan