PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

07/03/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor utiliti, perladangan, telekomunikasi dan media.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.27 mata atau 0.60 peratus kepada 1,549.64 daripada 1,558.91 semalam. 

Tenaga Nasional berkurangan 12 sen kepada RM13.74, Kuala Lumpur Kepong susut 60 sen kepada RM20.50 dan Maxis turun lapan sen kepada RM3.42. Kaunter ini menyebabkan indeks komposit merosot dengan gabungan 3.38 mata. 

FBM KLCI, yang dibuka rendah 3.16 mata kepada 1,555.75, bergerak antara 1,548.06 dan 1,556.46 pada sesi dagangan pagi.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 470 berbanding 276, dengan 379 kaunter tidak berubah, 1,245 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM1.0 bilion.

Walaupun terdapat penjualan saham perbankan semalam, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata pihaknya melihat ini sebagai peluang yang berpotensi untuk membeli.

“Berdasarkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah, margin faedah bersih bank dijangka kekal stabil, menyokong pendapatan yang stabil.

“Saham perbankan turut menawarkan pembayaran dividen yang konsisten, menjadikannya pelaburan jangka panjang yang menarik,” katanya.

Sementara itu, firma tersebut berpendapat kerjasama bernilai US$250 juta dengan Arm Holdings Plc untuk memacu gelombang kedua semikonduktor Malaysia akan memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian nilai semikonduktor.

“Kami kekal optimis terhadap Itmax System dan Time dotCom berdasarkan model perniagaan mereka yang berdaya tahan dan pertumbuhan pendapatan yang kukuh,” katanya. 

Bagi saham wajaran tinggi lain, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.56, MISC merosot satu sen kepada RM7.22, YTL Corporation susut lima sen kepada RM1.83, bagaimanapun Maybank dan CelcomDigi, masing-masing naik dua sen kepada RM10.58 dan RM3.57.

Bagi saham aktif, Oppstar naik 9.5 sen kepada 57 sen, KeyASIC menambah setengah sen kepada 4.5 sen, Dagang NeXchange meningkat 3.5 sen kepada 31.5 sen, NationGate berkurangan lapan sen kepada RM1.34 manakala NexG mendatar pada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 62.37 mata kepada 11,540.97, Indeks FBM 70 merosot 82.73 mata kepada 16,381.69.

Indeks FBM Emas Shariah susut 85.01 mata kepada 11,214.92, Indeks FBM ACE berkurangan 19.86 mata kepada 4,576.99 dan Indeks FBMT 100 merosot 64.84 mata kepada 11,315.46.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 85.64 mata kepada 7,481.22, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.85 mata kepada 155.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 29.57 mata kepada 19,043.90 dan Indeks Tenaga susut 5.63 mata kepada 717.97.

Sementara itu, dalam makluman Bursa Malaysia, Lim Seong Hai Capital Bhd telah memohon dagangan dalam saham syarikat digantung berkuat kuasa mulai 2.30 petang hari ini sehingga selesai pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd kepada Pasaran ACE. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan