KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia kekal mendatar setakat tengah hari Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan, terutamanya membabitkan saham-saham perladangan dan tenaga, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 5.88 mata atau 0.38 peratus kepada 1,514.83 daripada 1,519.99 pada akhir dagangan semalam.
Indeks itu dibuka susut 1.17 mata pada 1,518.82 dan seterusnya bergerak dalam julat 1,510.92 hingga 1,520.89 sepanjang dagangan pagi ini.
Pasaran secara meluas menyaksikan sentimen negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 462 berbanding 284 manakala 455 kaunter tidak berubah, 1,215 tidak diniagakan dan 22 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.01 bilion saham bernilai RM947.77 juta.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menerusi nota penyelidikannya berkata sentimen dijangka kekal berhati-hati, diasak ketidaktentuan membabitkan berkaitan perjanjian tarif Amerika Syarikat (AS)-Malaysia serta prestasi pasaran yang lazimnya susut pada Jun.
Risiko lain adalah potensi tekanan dasar susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api pada separuh kedua 2025 (2H25) dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai — kedua-duanya berkemungkinan menjejaskan perbelanjaan pengguna dan mencetuskan ketidaktentuan terhadap unjuran pendapatan korporat.
Bagaimanapun, risiko penurunan itu berkemungkinan dapat diimbangi pengukuhan ringgit berbanding dolar AS yang telah meningkat sebanyak 5.3 peratus setakat tahun ini dan berpotensi menyokong aliran masuk dana asing serta mengurangkan kos import.
“Selain itu, pemangkin berasaskan dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) juga dilihat mampu menyokong pasaran tempatan,” katanya.
“Paras sokongan diunjur dalam julat 1,476-1,500 manakala rintangan pada 1,524-1,556,” kata bank pelaburan itu.
Saham wajaran tinggi menyaksikan SD Guthrie susut 9.0 sen kepada RM4.61, Petronas Chemicals Group dan IOI Corp turun 5.0 sen kepada RM3.35 dan RM3.67, Hong Leong Financial Group susut 18 sen kepada RM15.86 manakala Telekom berkurangan 7.0 sen kepada RM6.59.
Bagi saham paling aktif, Top Glove rugi 3.5 sen kepada 72 sen, MYEG dan Tanco Holdings masing-masing naik 1.0 sen kepada 94 sen dan 96.5 sen manakala Velesto Energy turun setengah sen kepada 18.5 sen dan Jiankun International tidak berubah pada 3.0 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 37.89 mata kepada 11,322.90 dan Indeks FBMT 100 susut 36.35 mata kepada 11,102.00.
Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 31.41 mata kepada 11,342.25, Indeks FBM ACE menguncup 23.48 mata kepada 4,448.33 manakala Indeks FBM 70 turun 26.57 mata kepada 16,256.89.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan turun 68.34 mata kepada 7,281.93, Indeks Tenaga susut 14.40 mata kepada 737.76, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 86.85 mata kepada 17,414.15 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.62 mata kepada 150.51.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial