KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam kaunter kewangan dan telekomunikasi terpilih yang mengehadkan peningkatan.
Maybank susut tujuh sen kepada RM9.74 dan CelcomDigi rendah enam sen kepada RM3.84.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.07 mata kepada 1,528.23 daripada 1,528.16 semasa ditutup pada Khamis lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 5.25 mata lebih tinggi kepada 1,533.41. Pasaran ditutup pada Jumaat minggu lepas sempena cuti umum Maal Hijrah.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan 414 kaunter rugi mengatasi 398 kaunter untung manakala 507 kaunter tidak berubah, 1,120 tidak diniagakan dan 102 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 2.16 bilion unit bernilai RM1.05 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan institusi tempatan akan terus menyokong pasaran, dan dana asing dijangka masuk dipacu oleh prestasi yang mantap di Wall Street.
"Wall Street ditutup lebih tinggi secara menyeluruh (minggu lepas) berikutan sentimen telah dirangsang oleh rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan perjanjian mungkin telah dicapai. Sehubungan itu, hasil bon 10 tahun AS meningkat kepada 4.27 peratus.
"Di dalam negara, FBM KLCI memperlihatkan satu lagi prestasi positif apabila indeks itu ditutup hampir pada paras 1,530 pada Khamis. Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu berlegar dalam julat 1,530-1,540 hari ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank rendah satu sen kepada RM4.33, Tenaga Nasional naik 14 sen kepada RM14.40, CIMB tidak berubah pada RM6.80, IHH naik tiga sen kepada RM6.75 manakala Hong Leong menyusut 26 sen kepada RM19.52.
Bagi saham paling aktif, EA Holdings bertambah setengah sen kepada satu sen, NexG naik satu sen kepada 37 sen manakala Borneo Oil and Tanco masing-masing turun setengah sen kepada setengah sen dan 92.5 sen, dan Top Glove susut satu sen kepada 71 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 23.07 mata kepada 11,421.87, Indeks FBMT 100 menokok 22.64 mata kepada 11,204.00, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 49.56 mata kepada 11,390.69.
Indeks FBM 70 meningkat 130.45 mata kepada 16,401.110 dan Indeks FBM ACE menyusut 18.20 mata kepada 4,456.56.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 62.21 mata kepada 17,674.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.19 mata kepada 152.17, Indeks Perladangan merosot 1.75 mata kepada 7,327.27 dan Indeks Tenaga menambah 1.96 mata kepada 734.64.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial