PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

06/08/2025 11:40 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki penurunan Wall Street berikutan sentimen berhati-hati susulan data ekonomi AS yang lemah dan pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas sektor semikonduktor dan farmaseutikal.

Pada jam 9.10 pagi, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.16 mata atatu 0.08 peratus kepada 1,537.48 daripada 1,538.64 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka lebih rendah sebanyak 0.72 mata pada 1,537.92.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 197 berbanding 98, dengan 287 kaunter tidak berubah, 1,920 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 168.44 juta unit bernilai RM82.74 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi Bursa Malaysia itu mencerminkan penurunan di Wall Street berikutan sentimen bertukar berhati-hati susulan data pasaran pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan.

"Keadaan bertambah buruk selepas Trump menyatakan bahawa tarif berasingan akan dikenakan tidak lama lagi ke atas sektor semikonduktor dan farmaseutikal.

"Bagaimanapun, kami percaya sentimen keseluruhan kekal positif dan menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,535-1,550 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank naik 10 sen masing-masing kepada RM9.67 dan RM4.25, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM6.88, CIMB tidak berubah pada RM6.75, bagaimanapun Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.24.

Bagi kaunter aktif, NexG jatuh 0.5 sen kepada 53 sen, Top Glove merosot 2.5 sen kepada 61 sen, Hartalega jatuh enam sen kepada RM1.26. Harvest Miracle Capital dan Pharmaniaga menambah 0.5 sen masing-masing kepada 16.5 sen dan 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.35 mata kepada 11,523.62, Indeks FBMT 100 berkurangan 16.74 mata kepada 11,289.92,Indeks FBM Emas Shariah jatuh 31.83 mata kepada 11,57.17, dan Indeks FBM 70 turun 60.50 mata kepada 16,606.25, manakala Indeks FBM ACE menguncup 0.60 mata kepada 4,630.86.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 18.17 mata kepada 17,466.63, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.93 mata kepada 740.01, manakala Indeks Perladangan susut 9.23 mata kepada 7,354.12.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan