KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi Khamis dengan sedikit peningkatan, mencerminkan daya tahan pasaran walaupun berdepan tekanan daripada ketegangan perdagangan global yang semakin memuncak.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.62 mata mewakili 0.24 peratus kepada 1,545.10 berbanding 1,541.48 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka rendah sebanyak 0.98 mata kepada 1,540.50 dan bergerak antara 1,537.74 dan 1,545.88 sepanjang sesi pagi.
Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan 471 kaunter rugi mengatasi 321 kaunter untung, manakala 462 kaunter tidak berubah, 1,251 kaunter tidak didagangkan dan sembilan lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.28 bilion saham bernilai RM1.07 bilion.
Menurut Apex Securities Bhd, FBM KLCI menunjukkan pengukuhan apabila indeks terus bergerak secara mendatar dalam julat 1,540-1,550 seiring dengan sentimen berhati-hati dalam pasaran ketika ini.
“Kami menjangkakan sektor teknologi mungkin menghadapi tekanan susulan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) bercadang mengenakan tarif 100 peratus ke atas import semikonduktor. Sebaliknya, aktiviti belian pada harga rendah mungkin berlaku pada sektor tenaga, disokong pemulihan semula pada harga minyak mentah,” katanya dalam satu nota hari ini.
Firma itu turut menjangkakan pelabur akan memberi tumpuan kepada beberapa data penting akan datang, termasuk tuntutan pengangguran mingguan AS, keputusan kadar faedah Bank of England dan data pengeluaran perindustrian Malaysia yang akan diumumkan lewat hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.64, Tenaga Nasional menokok 44 sen kepada RM13.62, manakala Public Bank turun tiga sen kepada RM4.27, dan CIMB susut lima sen kepada RM6.76. Sementara itu, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.95.
Bagi saham aktif, Pharmaniaga dan Dagang Nexchange masing-masing susut setengah sen kepada 18 sen dan 26 sen, Zetrix AI merosot satu sen kepada 86 sen, manakala Inari Amertron naik tiga sen kepada RM1.89, dan Tanco tidak berubah pada 78 sen.
Di pasaran lebih meluas, Indeks FBM Emas mengukuh pada 14.33 mata kepada 11,547.23, Indeks FBMT 100 melonjak 16.97 mata kepada 11,320.83 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 52.77 mata kepada 11,589.36.
Indeks FBM ACE meraih 4.68 mata kepada 4,605.57, manakala Indeks FBM 70 susut 17.19 mata kepada 16,541.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 84.25 mata kepada 17,458.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 mata kepada 157.68, Indeks Tenaga merosot 4.18 mata kepada 733.44 dan Indeks Perladangan turun 4.73 mata kepada 7,342.98.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial