Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Rabu apabila berlaku aktiviti pembelian saat-saat akhir ke atas saham wajaran tinggi terpilih yang digabungkan dengan prestasi pasaran serantau lebih kukuh sehingga meningkatkan sentimen pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.84 mata atau 0.19 peratus untuk ditutup kepada 1,541.48 daripada 1,538.64 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 0.72 mata lebih rendah pada 1,537.92, bergerak antara 1,533.06 dan 1,542.89 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh menunjukkan keadaan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 626 berbanding 353 manakala 489 kaunter tidak berubah, 1,034 tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung.
Jumlah dagangan menurun kepada 2.51 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 2.87 bilion unit bernilai RM2.75 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau ditutup kebanyakannya lebih tinggi dipacu oleh keyakinan terhadap potensi perjanjian perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.
Beliau berkata, Presiden AS Donald Trump berkata negaranya hampir memeterai perjanjian perdagangan dengan China dan menyebut iaitu beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, sebelum akhir tahun ini sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan.
“Selain itu, FBM KLCI sekali lagi menguji paras rintangan 1,540. Kegagalan untuk melepasi paras ini mungkin menyebabkan dagangan terus bergerak dalam jajaran tertentu dan berkemungkinan berlaku pembetulan semula ke paras 1,520.
"Jadi, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,520 hingga 1,550 sepanjang minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM9.63, Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM13.18 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing naik enam sen kepada RM4.30 dan RM6.81 dan IHH Healthcare meningkat 10 sen kepada RM6.95.
Dalam kalangan saham paling cergas, NexG kekal pada 53.5 sen, Inari Amertron susut 11 sen kepada RM1.86, Tanco berkurang 3.5 sen kepada 78 sen, Top Glove mengecil dua sen kepada 61.5 sen manakala Ekovest menokok setengah sen kepada 43 sen.
Di pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas merosot 9.07 mata kepada 11,532.90, Indeks FBMT 100 turun 2.80 mata kepada 11,303.86 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurang 32.41 mata kepada 11,536.59.
Indeks FBM 70 susut 107.69 mata kepada 16,559.06 manakala Indeks FBM ACE mengecil 30.57 mata kepada 4,600.89.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 94.18 mata kepada 17,542.64 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.64 mata kepada 157.76, Indeks Tenaga merosot 2.78 mata kepada 737.62 dan Indeks Perladangan berkurang 15.64 mata kepada 7,347.71.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 751.14 juta unit bernilai RM107.82 juta daripada 703.81 juta unit bernilai RM96.19 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 274.30 juta unit bernilai RM102.55 juta daripada 300.21 juta unit bernilai RM137.66 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan sebanyak 205.77 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (216.46 juta), pembinaan (115.87 juta), teknologi (302.44 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (113.25 juta), hartanah (146.76 juta), perladangan (14.26 juta), REITs (20.12 juta), dana tertutup (6,200), tenaga (88.11 juta), penjagaan kesihatan (154.56 juta), telekomunikasi dan media (33.99 juta), pengangkutan dan logistik (31.03 juta), utiliti (44.67 juta) serta amanah perniagaan (36,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial