PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Belian Berterusan Saham Wajaran Tinggi

07/08/2025 07:04 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Ogos -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Khamis, dipacu minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih khususnya dalam sektor utiliti dan teknologi di tengah-tengah pasaran serantau yang kukuh.

Selain itu, keyakinan pelabur terus dirangsang oleh kejelasan dasar yang dipamerkan menerusi kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi libat urus Belanjawan 2026 di Putrajaya hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 7.63 mata atau 0.50 peratus untuk ditutup pada 1,549.11 daripada 1,541.48 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka dengan penurunan 0.98 mata pada 1,540.50, mencapai paras terendah 1,537.74 pada sesi pagi dagangan sebelum memperoleh momentum kenaikan sepanjang baki hari tersebut.

Namun, di keseluruhan pasaran mencatatkan prestasi negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 517 berbanding 424 manakala 539 kaunter tidak berubah, 1,025 tidak diniagakan dan sembilan lagi digantung.

Jumlah dagangan mengecil kepada 2.21 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 2.51 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan FBM KLCI pantas pada sesi petang dagangan, mencerminkan sentimen pelabur yang bertambah baik susulan isyarat dasar daripada kerajaan dan pelepasan data ekonomi domestik yang membina.

“Kerajaan menekankan tiga sektor strategik iaitu semikonduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam sebagai teras utama dalam strategi fiskal yang akan datang.

“Libat urus belanjawan ini dapat mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, mengukuhkan komitmen pentadbiran terhadap perancangan fiskal yang terangkum dan berpandangan ke hadapan,” katanya kepada Bernama.

Dari segi ekonomi, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia menokok sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun pada Jun 2025, dipacu oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor pembuatan dan elektrik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing kekal pada RM9.63 dan RM6.95, Public Bank turun satu sen kepada RM4.29, CIMB susut tiga sen kepada RM6.78 manakala Tenaga Nasional naik 58 sen kepada RM13.76.

Dalam kalangan saham paling cergas, Pharmaniaga, Tanco dan Zetrix AI masing-masing berkurang satu sen kepada 17.5 sen, 77 sen dan 86 sen manakala Inari Amertron meningkat tiga sen kepada RM1.89, dan Top Glove kekal pada 61.5 sen.

Bagi pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas naik 33.64 mata kepada 11,566.54, Indeks FBMT 100 menokok 36.80 mata kepada 11,340.66 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 69.57 mata kepada 11,606.16.

Indeks FBM ACE meningkat 29.99 mata kepada 4,630.88 manakala Indeks FBM 70 susut 30.09 mata kepada 16,528.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 48.18 mata kepada 17,494.46 dan Indeks Tenaga turun 2.94 mata kepada 734.68 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bertambah sedikit iaitu sebanyak 0.26 mata kepada 158.02 dan Indeks Perladangan naik 1.03 mata kepada 7,348.74.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.15 bilion daripada 1.49 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurang kepada 620.69 juta unit bernilai RM97.15 juta daripada 751.14 juta unit bernilai RM107.82 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengecil kepada 258.67 juta unit bernilai RM99.50 juta daripada 274.30 juta unit bernilai RM102.55 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 162.63 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (193.24 juta), pembinaan (103.66 juta), teknologi (236.43 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (63.93 juta), hartanah (160.86 juta), perladangan (17.82 juta), REIT (27.12 juta), dana tertutup (6,500), tenaga (115.49 juta), penjagaan kesihatan (130.37 juta), telekomunikasi dan media (22.79 juta), pengangkutan dan logistik (33.31 juta), utiliti (60 juta) serta amanah perniagaan (37,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan