Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia yang mencatatkan kenaikal awal ditutup rendah pada Jumaat berikutan penjualan pada saat-saat akhir dalam saham mewah ketika pelabur mula berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik berterusan di Asia Barat terus menjejaskan sentimen pasaran.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.86 mata atau 0.11 peratus kepada 1,683.07 daripada 1,684.93 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.25 mata lebih tinggi kepada 1,688.18 sebelum bergerak antara 1,680.59 hingga 1,694.65 sepanjang dagangan.
Bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 680 berbanding 512, manakala 529 kaunter tidak berubah, 921 kaunter tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.94 bilion unit bernilai RM10.74 bilion daripada 3.53 bilion unit bernilai RM4.19 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran serantau pulih di sebalik keyakinan semakin meningkat bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran boleh mencapai perjanjian damai, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai potensi gangguan kepada bekalan tenaga global.
“Akibatnya, harga minyak mentah Brent susut kepada sekitar US$92 setong.
“Bagaimanapun, di peringkat tempatan (Malaysia), kita kekal berhati-hati kerana rundingan antara AS dan Iran masih belum menghasilkan keputusan yang muktamad, manakala ketidakpastian geopolitik di Asia Barat terus menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menambah 14 sen kepada RM10.64, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM14.28 dan IHH Healthcare melonjak dua sen kepada RM9.01, manakala Public Bank merosot enam sen kepada RM4.71 dan CIMB Group berkurangan satu sen kepada RM7.48.
Bagi saham aktif, Axiata naik dua sen kepada RM2.00, YTL Corp dan MR D.I.Y. meningkat satu sen masing-masing kepada RM2.05 dan RM1.58, QL Resources menokok 20 sen kepada RM3.60 dan NationGate Holdings melonjak 12 sen kepada 88 sen.
Antara kaunter paling untung, Hong Leong Industries naik 62 sen kepada RM19.00, United Plantations dan Ajinomoto meningkat 58 sen masing-masing kepada RM31.08 dan RM13.86, Petronas Dagangan menokok 40 sen kepada RM17.74 dan Kuala Lumpur Kepong menambah 36 sen kepada RM20.32.
Kaunter paling rugi, Nestle susut RM4.00 kepada RM91.00, Allianz Malaysia berkurangan 40 sen kepada RM21.52, Malayan Cement merosot 35 sen kepada RM6.54, manakala Hong Leong Bank dan Petronas Chemicals menguncup 30 sen masing-masing kepada RM20.88 dan RM5.21.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 38.84 mata kepada 12,580.12, Indeks FBM Top 100 naik 37.06 mata kepada 12,417.54, Indeks FBM Emas Syariah menokok 53.16 mata kepada 12,604.07, Indeks FBM Mid 70 meningkat 270.64 mata kepada 18,484.33 dan Indeks FBM ACE melonjak 42.67 mata kepada 4,763.81.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.51 mata kepada 197.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 21.72 mata kepada 19,524.29, Indeks Perladangan susut 5.41 mata kepada 8,499.54 dan Indeks Tenaga berkurangan 4.15 mata kepada 778.75.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.56 bilion unit bernilai RM10.15 bilion daripada 1.98 bilion unit bernilai RM3.87 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut 830.47 juta unit bernilai RM105.18 juta berbanding 971.39 juta unit bernilai RM117.20 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 550.09 juta unit bernilai RM218.76 juta daripada 583.66 juta unit bernilai RM206.61 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 750.34 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (502.46 juta), pembinaan (220.58 juta), teknologi (342 juta), perkhidmatan kewangan (296.28 juta), hartanah (230.92 juta), perladangan (61.57 juta), amanah pelaburan hartanah (42.34 juta), dana tertutup (65,000), tenaga (118.92 juta), penjagaan kesihatan (198.96 juta), telekomunikasi dan media (403.70 juta), pengangkutan dan logistik (26.58 juta), utiliti (362.81 juta) dan amanah perniagaan (32,200).
Bursa Malaysia akan ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa, 2 Jun bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta cuti gantian Hari Wesak.
Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial