POLITIK > BERITA

NAIB YANG DIPERTUA PAS NIBONG TEBAL DIUMUM CALON PN PRK SUNGAI BAKAP

16/06/2024 12:51 AM

NIBONG TEBAL, 15 Jun (Bernama) -- Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, diumumkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bulan depan.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis pengumuman calon PN di Simpang Ampat di sini malam ini.

“Kita yakin Abidin mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai calon. Kita harap pengundi di Sungai Bakap akan terus mengekalkan calon PN pada PRK akan datang," katanya.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin, Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Yusof.

Tuan Ibrahim berkata Abidin, bapa dua anak itu merupakan anak jati Sungai Bakap yang bertugas dalam bidang logistik dan juga pembantu kepada penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan