POLITIK > BERITA

MASYARAKAT INDIA TIDAK PILIH CALON IKUT WARNA KULIT - RAMANAN

21/06/2024 07:46 PM

NIBONG TEBAL, 21 Jun (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk R. Ramanan berkata masyarakat India tidak akan memilih calon yang bertanding pada pilihan raya dengan hanya melihat kepada warna kulit semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata apa yang penting kepada komuniti itu ialah calon tersebut haruslah berwawasan dan mempunyai keprihatinan tinggi terhadap penduduk setempat.

“Kalau tanya saya, kita komuniti India tidak lihat warna kulit… asalkan calon itu dari parti yang bagus, mempunyai keprihatinan tinggi dan niat yang betul kepada rakyat, itu kita sentiasa sokong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Bersama Masyarakat India Sungai Bakap hari ini.

Justeru, Ramanan berharap masyarakat India memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini kerana beliau mempunyai keperibadian merendah diri.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu juga berkata kerajaan telah banyak membantu masyarakat India untuk maju termasuk menyediakan sejumlah peruntukan pembangunan serta perniagaan antaranya melalui MITRA, TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

Mengambil contoh peruntukan di bawah Bank Rakyat, Ramanan berkata sejumlah RM50 juta disediakan melalui Skim Pembiayaan Bank Rakyat India Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bagi memperkasakan ekonomi mereka.

“Jadi sebagai satu pasukan (dalam Kerajaan Perpaduan), kita tidak gentar dan risau dalam soal untuk meraih undi masyarakat India kerana banyak usaha telah dilakukan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan sesetengah individu yang menghasut komuniti India menggunakan isu sijil halal dalam permohonan BRIEF-i dan menyifatkan perkara itu dilakukan untuk mewujudkan sentimen perkauman semata-mata.

Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang lelaki India mendakwa gagal mendapatkan pinjaman BRIEF-i bagi perniagaannya kerana tidak mempunyai sijil halal, menyebabkan permohonan beliau ditolak.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan