POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: MEDAN TERBAIK PH CIPTA KEJUTAN TEWASKAN PARTI PENYANDANG - SAIFUDDIN NASUTION

22/06/2024 02:43 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mampu menjadi medan terbaik Pakatan Harapan (PH) mencipta kejutan merampas kembali kerusi itu seterusnya menyumbang kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan keputusan tujuh PRK yang diadakan sebelum ini parti penyandang berjaya mengekalkan kemenangan masing-masing dan untuk itu calon PH pada PRK DUN Sungai Bakap perlu membuat kejutan dengan mengalahkan calon yang diketengahkan parti penyandang iaitu Perikatan Nasional (PN).

“Pada PRK Simpang Pulai sewaktu Allahyarham (Datuk Seri) Salahuddin Ayub meninggal dunia, kedua-dua Parlimen dan DUN berjaya dikekalkan oleh Kerajaan Perpaduan, jadi tak ada kejutan. Begitu juga di (PRK) DUN Pelangai, calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan manakala di PRK Parlimen Kemaman PAS dan PN kekal. 

“Jadi ini peluang untuk kita kerana Sungai Bakap sebelum ini dimenangi oleh PN. Ini peluang terbaik untuk calon Kerajaan Perpaduan mencipta sejarah iaitu mengalahkan (parti) penyandang pada 6 Julai nanti, maka ini sasaran kami,” katanya kepada pemberita selepas selesai penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow meminta pengundi memberikan sokongan kepada Joohari demi kesinambungan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan yang sedang dikecapi.

“Jadikanlah teras kebersamaan Kerajaan Perpaduan sebagai sumber inspirasi penyatuan rakyat yang berbilang bangsa dan tolak sama sekali sentimen yang boleh merosakkan tautan perpaduan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin rekod prestasi Allahyarham Nor Zamri Latiff yang baik semasa menjadi wakil rakyat di kawasan itu akan memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan untuk mengekalkan kerusi berkenaan. 

Beliau berkata calon yang diketengahkan juga bukan asing kerana merupakan pembantu kepada Allahyarham sebelum ini sekali gus memudahkan beliau memahami permasalahan yang dialami oleh penduduk. 

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula berharap penyokong parti berkempen secara berhemah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen agar ia sentiasa berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni. 

“Kita berjanji untuk tidak membuat apa-apa provokasi. Kalau orang buat provokasi pun, kita tidak akan layan, kita nak pilihan raya ini berlangsung dengan aman dan harmoni,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan