POLITIK > BERITA

PENGUNDI CINA MAMPU JADI PENENTU KEMENANGAN SELESA - JOOHARI 

27/06/2024 02:39 PM

NIBONG TEBAL, 27 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin mengakui sokongan 22.5 peratus pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap penentu kepada kemenangan selesa Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai ini.

Joohari, 60, yang mesra disapa Cikgu Joo berkata setakat ini beliau yakin mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina berdasarkan kepada jaminan yang diberikan mereka ketika ditemui beliau sepanjang turun berkempen.

“Jadi saya harap dengan sokongan yang diberikan oleh masyarakat Cina, saya akan dapat majoriti selesa pada PRK ini,” katanya kepada Bernama selepas bertemu pengundi Cina di Kampung Baru Wellesley, di sini malam tadi.

Joohari meluangkan masa bertemu pengundi termasuk beramah mesra bersama penganut Tokong Kuan Yim di Restoran Lai Lai Seafood di kampung itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu sebanyak 59.4 peratus, diikuti pengundi Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

Sementara itu, salah seorang pengundi DUN Sungai Bakap Tan Chiew Kim, 58, dari Kampung Baru Wellesley berkata setelah beramah mesra bersama calon PH, beliau yakin Joohari mampu membawa suara masyarakat kaum bukan Melayu, seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya calon PH ini nampak pandai dan serasi, temu masyarakat Cina. Jadi dia lebih bagus diangkat jadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. 

“Saya mahu dia menang sebab saya percaya kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan dijaga sekiranya dia dipilih nanti,” katanya yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas, Nor Zamri merampas kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan