POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: PENGARAH PILIHAN RAYA PH MINTA HENTIKAN PERBUATAN KHIANAT

28/06/2024 12:02 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meminta pihak bertanggungjawab supaya menghentikan perbuatan khianat terhadap bahan kempen jentera calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewang Undang Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK itu berkata semua pihak harus berkempen secara profesional tanpa perlu membuat sebarang provokasi terhadap lawan masing-masing.

“Kita tidak tuduh sesiapa tetapi tidaklah (ia datang) daripada pihak kita. Jadi kita minta hentikanlah (perbuatan itu) dan bertanding, berkempenlah secara profesional,” katanya kepada Bernama selepas Sembang Santai Orang Kita bersama alumni Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) di Kampung Tasek Chempedak, Simpang Ampat, malam tadi.

Hadir sama calon PH bagi PRK Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.

Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj bahan kempen jentera Perpaduan dalam PRK itu dengan merosakkan gegantung dan bendera parti PH.

Ketuanya Muhammad Fadzli Roslan mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada antaranya dibuang di dalam longkang.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff akibat keradangan dalam perut pada 24 Mei lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan