POLITIK > BERITA

PRK NENGGIRI: UMNO AKAN LETAK CALON - AHMAD ZAHID

29/06/2024 04:23 PM

LIPIS, 29 Jun (Bernama) -- UMNO akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah bagi PRK tersebut manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan UMNO dan Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengarah operasi PRK berkenaan. 

“Lepas ini, kita akan ke Gua Musang untuk tolong calon kita. Insya-Allah, kalau kita bekerja keras, kerja ikhlas, Allah akan beri kemenangan kepada kita. 

“Mudah-mudahan kombinasi ini (Tengku Razaleigh dan Ahmad Jazlan) dapat beri kemenangan kepada kita. UMNO Pahang wajib bantu calon kita di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, di sini hari ini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos. 

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi  Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO, Barisan Nasional (BN) negeri ini agar lebih berhati-hati memandangkan parti pembangkang merancang untuk menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

“Pada PRU lepas, kita dapat 16 kerusi manakala PN peroleh 17 kerusi. Siapa yang selamatkan kita iaitu rakan daripada PH (Pakatan Harapan) kerana mereka sumbangkan lapan kerusi, jadi, 16 tambah lapan jadi, 24 kerusi. 

“PAS dan Bersatu mempunyai 17 kerusi, mereka cuba untuk tawan Pahang pada pilihan raya akan datang, saya harap pemimpin UMNO dan Pahang, jangan benarkan mereka menang dan kita mesti beri sokongan kepada Wan Rosdy (Menteri Besar) dan rakan-rakan,” katanya.

Justeru, beliau berkata gerak kerja parti mempertahankan negeri ini harus bermula sekarang dan perlu bekerja kuat serta tidak ambil mudah dengan serangan parti pembangkang memandangkan Perikatan Nasional (PN) telah menjadi kerajaan di empat negeri dan pastinya, tumpuannya selepas ini adalah Pahang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan