POLITIK > BERITA

PRK NENGGIRI: CALON UMNO DISENARAI PENDEK, TUNGGU PENGESAHAN BIRO POLITIK

30/06/2024 05:06 PM

MARAN, 30 Jun (Bernama) -- UMNO telah menyenarai pendek beberapa calon yang boleh menang, diterima rakyat dan disukai pengundi untuk diketengahkan sebagai wakil parti itu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibawa berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum senarai calon tersebut dibawa ke mesyuarat Biro Politik parti itu untuk dimuktamadkan.

“Saya fikir nama-nama yang telah disenarai pendekkan itu memenuhi kriteria yang pertamanya dari segi kebolehmenangan, kedua kebolehterimaan dan yang ketiganya tokoh yang disukai oleh pengundi tidak kira daripada parti mana.

“ Saya cuma perlukan kelulusan daripada biro politik UMNO sebelum diumumkan. 

“Pada hemat saya, beliau (Tengku Razaleigh) akan memikirkan tokoh tempatan daripada Nenggiri sendiri. Yang akan jadi calon, yang dikemukakan oleh bahagian dan perhubungan negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini hari ini. 

Bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri  telah mengarahkan BN Kelantan dan Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk menggerakkan seluruh jentera parti itu ke Nenggiri. 

“Saya telah adakan pertemuan dengan Pengerusi BN dan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk beliau menyusun gerak kerja operasi. Saya yakin parti komponen dalam kerajaan Perpaduan akan turut bantu calon UMNO yang mewakili BN nanti sepanjang kempen pilihan raya Nenggiri,” katanya. 

Dalam laporan media hari ini, difahamkan tiga nama disenaraikan UMNO Gua Musang untuk diangkat kepada pimpinan parti sebagai calon pada PRK DUN tersebut yang dikatakan diputuskan pada mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang semalam. 

Tiga nama tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos. 

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi  Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Mohd Azizi gugur keahlian Bersatu dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lepas oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan