POLITIK > BERITA

FAKTOR KESELAMATAN: PENGUNDI SUNGAI BAKAP MAHU ISU LAMBAKAN WARGA ASING DIBERI PERHATIAN

29/06/2024 04:29 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berharap masalah kebanjiran pendatang asing turut diberi keutamaan demi kesejahteraan dan keselesaan mereka.

Sungai Bakap yang juga satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal itu mempunyai banyak kilang dan kawasan perindustrian sehingga menyebabkan warga asing didakwa mendominasi di sesetengah kawasan penempatan.

Seorang penduduk dari Taman Widuri di sini dikenali sebagai Izzatul Suhaila, 36, berkata warga asing di kawasan perumahannya semakin bertambah susulan beberapa unit rumah termasuk rumah kedai telah dijadikan penempatan mereka kerana berdekatan dengan kilang tempat mereka bekerja.

“Kawasan ini semakin ramai pekerja warga asing. Boleh lihat sendiri dalam 6 petang, bas-bas pekerja hantar mereka. Setakat ini belum ada isu kes pecah rumah atau kejadian anak atau wanita diganggu tapi bila semakin ramai, kami sendiri pun kurang selesa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Penduduk Taman Jawi Jaya, R. Usha, 43, berkata isu ini wajar diangkat kerana bimbang jika ia dibiarkan akan menimbulkan masalah sosial.

“Biasanya warga asing ini akan nampak ramai pada Sabtu dan Ahad sebab hari cuti. Hari-hari kerja mereka akan berada di sekitar kawasan rumah kedai,” katanya yang bekerja di sebuah kilang makanan di sini.

Justeru, dia yang akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi itu berharap wakil rakyat yang dipilih kelak dapat turun padang dengan kerap bagi melihat sendiri sekail gus menyelesaikan isu kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

Peniaga buah-buahan Azizan Md Isa, 56, yang berniaga di beberapa kawasan di Sungai Bakap berkata ada dalam kalangan warga asing itu kurang disenangi terutama dari aspek kebersihan selain lagak dan sikap ‘besar kepala’ yang ditunjukkan oleh mereka.

“Saya faham pengambilan warga asing dapat atasi masalah kekurangan pekerja tapi bila makin ramai, kita pula merasakan berada di negara mereka,” katanya.

Pengundi muda Aishah Farhana Aziz, 20, dari Kampung Sungai Buaya di sini mendedahkan dia terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan kerana majikan lebih memilih untuk menggaji warga asing.

“Kebanyakan rakan sebaya saya terpaksa keluar atau berulang dari kampung bekerja di bandar terdekat sebab majikan kilang kawasan sini lebih memilih orang luar berbanding orang tempatan. Jadi saya harap isu ini diambil maklum,” katanya.

Dia juga berharap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, 6 Julai nanti, turut memberi tumpuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan agar anak muda di kawasan itu tidak perlu merantau untuk bekerja.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya dari PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari pengundian melibatkan 39,279 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan