POLITIK > BERITA

HANYA NEGARA AMBANG MUFLIS SAHAJA PINJAM IMF - RAFIZI

30/06/2024 03:09 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menempelak pihak pembangkang berhubung pernyataan yang mengaitkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan ketika ini dengan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata tidak timbul soal pinjaman IMF kerana hanya negara yang berada di ambang muflis sahaja yang akan mendapatkan bantuan kewangan sedemikian.

"Kamu tak boleh pergi kepada IMF kalau kamu boleh bayar hutang. Ada Malaysia nak bankrap sekarang, ada kita tak boleh bayar hutang? Tak timbul soal IMF, kalau pun ada orang gila nak pinjam IMF, IMF akan kata kamu gila.

"Kamu tak boleh pinjam daripada kami (IMF) kerana kamu masih lagi ada duit. Negara yang pergi kepada IMF hanyalah negara yang sudah nak bankrap, baru boleh pergi kepada IMF," katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kempen ceramah mega PN di Sungai Bakap pada Jumaat lepas yang bertanyakan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu mempunyai kaitan dengan pinjaman IMF.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan