POLITIK > BERITA

PROJEK KIGIP BERI LIMPAHAN EKONOMI, SELESAIKAN ISU AIR PENDUDUK SUNGAI BAKAP - JOOHARI

02/07/2024 10:11 PM

NIBONG TEBAL, 2 Julai (Bernama) -- Komitmen Kerajaan Perpaduan membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu (KIGIP) akan membuka ruang kepada limpahan ekonomi terhadap penduduk serta pelbagai sektor dan industri di kawasan Sungai Bakap.

Menyambut baik dan mengalu-alukan pembangunan KIGIP, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin berkata projek itu juga, dilihat membantu dalam menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) terutamanya DUN Sungai Bakap yang berlarutan sehingga kini.

“Ini merupakan suatu yang cukup baik, sebab ia (KIGIP) di Kerian dan apabila dimajukan ia akan melimpah faedahnya sehingga ke kawasan SPS termasuklah di DUN Sungai Bakap ini.

“Ini termasuklah menerusi penyediaan peluang pekerjaan yang banyak di situ dan sudah tentulah ia memberi faedah kepada masyarakat sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa menghadiri Program Townhall Minda MADANI bersama lebih 50 penduduk, di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek KIGIP, akan dapat memenuhi keperluan bekalan air di kawasan SPS dan KIGIP, selain turut menyelesaikan masalah air di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Joohari yang mesra disapa Cikgu Joo berharap masalah gangguan bekalan air akan dapat diselesaikan segera, apabila projek tersebut dilaksanakan.

“Projek penyaluran air mentah itu, penawaran tersebut sudah pastinya akan sampai ke kawasan Sungai Bakap, yang saya percaya masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat di sini akan dapat diselesaikan apabila projek ini dilaksanakan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini, menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan