POLITIK > BERITA

CALON BN DUN NENGGIRI DIUMUMKAN LEBIH AWAL

13/07/2024 03:59 PM

KUALA NERUS, 13 Julai (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan lebih awal. 

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Biro Politik parti telah mengenal pasti seorang daripada tiga calon yang telah disenarai pendek oleh UMNO Kelantan yang akan bertanding pada PRK nanti.

“Biro Politik telah membuat keputusan dan kita menyerahkan nama (calon yang telah dipilih) kepada Datuk Ahmad Jazlan (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) untuk membuat pengumuman awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sambil memberitahu calon yang telah dipilih merupakan seorang lelaki, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Ahmad Jazlan untuk menentukan bila nama calon tersebut akan diumumkan.

Semalam, Ahmad Jazlan berkata pihaknya bercadang untuk mengumumkan calon PRK DUN Nenggiri lebih awal bagi memberi ruang kepada calon untuk bertemu pengundi di kawasan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun berikutan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan