POLITIK > BERITA

UMNO MELAKA BERAZAM RAMPAS SEMULA KERUSI DUN SUNGAI UDANG PADA PRU-16

15/07/2024 10:48 AM

MELAKA, 15 Julai (Bernama) -- Jentera UMNO Melaka perlu mengatur langkah bagi memperkukuh gerak kerja parti dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sungai Udang dapat dirampas  kembali pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti, sekali gus menjadikan seluruh kawasan Parlimen Tangga Batu milik UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang membuat gesaan itu mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dalam menjayakan misi berkenaan, agar kedudukan UMNO di negeri itu menjadi lebih kukuh.

"Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Melaka ke-15 lepas, kita telah menang di (DUN) Kelebang, Paya Rumput, Pantai Kundor tetapi tewas di Sungai Udang, justeru kita kena berusaha mengembalikan semula Sungai Udang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu 2024 di sini malam tadi.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.

Pada PRU DUN Melaka ke-15, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Perikatan Nasional yang diwakili Dr Mohd Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 6,259 undi.

Terdahulu AB Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata 700 perwakilan melibatkan tiga sayap parti iaitu wanita, pemuda dan puteri Tangga Batu hadir pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan