POLITIK > BERITA

PRK Nenggiri: 63.58 Peratus Mengundi Setakat 2 Petang

17/08/2024 02:46 PM

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila 63.58 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 2 petang ini.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 60 peratus.

Angka itu juga melebihi peratusan keluar mengundi dicatat DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri ke-15, Ogos tahun lepas yang hanya mencapai 61.09 peratus.

Sebanyak 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar hari ini berpeluang memilih wakil rakyat baharu dengan menunaikan hak masing-masing di kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran yang dibuka serentak 8 pagi tadi.

Empat pusat mengundi telah ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.

Pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat pula akan ditutup pukul 3 petang, manakala 14 lagi pusat mengundi ditutup 6 petang nanti.

Dua helikopter digunakan untuk membawa peti undi dari pusat mengundi di kawasan Orang Asli Pos Simpor dan Pos Gob yang terletak lebih 100 kilometer dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Sebelum ini, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK termasuk anggota polis.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan