DUNIA > BERITA

Keluarga Mangsa Perang Gaza Dinafikan Kemasukan Ke Australia

17/08/2024 09:03 PM

ANKARA, 17 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Australia menafikan kemasukan anak-anak mangsa perang yang terbunuh di Semenanjung Gaza, yang saudara lelakinya tinggal di Australia, menurut laporan media.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa Zuhair El Henday, yang menetap di New South Wales (NSW) selama beberapa tahun, menyatakan bahawa beliau telah berusaha sebaik mungkin tetapi gagal mendapatkan visa untuk keluarganya yang masih berada di Gaza.

"Saya telah membuktikan bahawa saya adalah warganegara yang sejati dan saya menyumbang kepada negara ini, menyumbang kepada masyarakat. Jadi, mengapa saya tidak berhak membawa keluarga saya ke sini untuk memastikan mereka selamat?" kata El Henday kepada Berita SBS (Special Broadcasting Service) pada Jumaat.

Saudara perempuannya, Lubna, suami, dua anak lelaki dan menantunya telah terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Bandaraya Gaza pada November tahun lepas manakala tiga anak saudara El Henday terselamat daripada serangan itu.

El Henday membuat pendedahan itu selepas pemimpin pembangkang Australia, Peter Dutton baru-baru ini mendesak agar Palestin yang melarikan diri dari Gaza dilarang memasuki Australia.

Desakan tersebut mencetuskan tindak balas daripada kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata pemimpin pembangkang itu sentiasa cuba memecahbelahkan masyarakat.

"Peter Dutton selalu mencari cara untuk memecahbelahkan masyarakat. Kami akan mendengar pendapat agensi keselamatan apabila berkaitan dengan keselamatan negara," kata Albanese.

Nasser Mashni, presiden Australia Palestine Advocacy Network, mengecam Dutton dan menyifatkan komen beliau sebagai "memalukan."

Serangan Israel sejak 7 Okt tahun lepas membunuh lebih 40,000 orang, kebanyakan wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 92,400 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Lebih 10 bulan sejak serangan Israel, sebahagian besar bangunan di Gaza tinggal dalam bentuk runtuhan di tengah-tengah sekatan yang menjejaskan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang memerintahkannya untuk segera menghentikan operasi tenteranya di bandar selatan Rafah, iaitu lebih 1 juta rakyat Palestin berlindung di kawasan itu sebelum diserang pada 6 Mei.

-- BERNAMA-ANADOL


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan