POLITIK > BERITA

Muhyiddin Wajar Mohon Maaf, Pulih Keraguan Dicetuskan Terhadap Agong - Pemuda UMNO

19/08/2024 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar menyatakan permohonan maaf secara rasmi dan terbuka bagi memulihkan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh berkata kenyataan yang dibuat Muhyiddin ketika berkempen sewaktu Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini, jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara yang kuasanya telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).

“Pemuda UMNO melahirkan rasa dukacita atas kenyataan yang dibuat Tan Sri Muhyiddin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Pemuda UMNO menjunjung kasih di atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah), agar pihak Polis Diraja Malaysia dapat mengambil tindakan tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal turut mempersoalkan sama ada kenyataan Muhyiddin itu adalah konsensus dan mewakili pimpinan PN yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan.

Muhyiddin sebelum ini didakwa mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Terdahulu Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan bertitah mahu polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut. 

Ucapan Muhyiddin juga menyebabkan polis menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan