POLITIK > BERITA

PRK DUN Mahkota: DAP Bantu Kempen Calon BN - Loke

27/08/2024 03:54 PM

PELABUHAN KLANG, 27 Ogos (Bernama) -- DAP akan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan berlangsung kelak. 

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan semalam, selain turut menamakan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi sebagai penyelaras utama dalam membantu kempen itu. 

"Kita sentiasa berada di lapangan… kita ada pusat khidmat dan cawangan-cawangan kita di sana selain memiliki petugas parti sepenuh masa di kawasan itu.

Kesemua mereka ini akan dikerahkan untuk membantu kempen memenangkan calon Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan Dan Haulier (PATH) Peringkat Kebangsaan di Pelabuhan Utara di sini hari ini. 

Menteri Pengangkutan itu berkata ekonomi semakin mengukuh dan kemakmuran negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan menjadi naratif yang bakal dibawa DAP dalam memikat hati pengundi sekali gus mempertahankan kerusi itu pada PRK berkenaan. 

"Di Johor banyak perkembangan ekonomi, pelaburan baharu projek-projek pengangkutan dan infrastruktur yang besar berlaku di sana, termasuk di Kluang dengan siapnya projek landasan berkembar Gemas ke Johor Bahru yang akan melalui Kluang tidak lama lagi.

DUN Mahkota berada di bawah Parlimen Kluang yang pastinya akan mendapat limpahan manfaat daripada pembangunan ini," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan