RENCANA

KOMITED HANTAR UBAT KE LOKASI PEDALAMAN, TERPENCIL

09/06/2023 10:02 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

Hanya untuk mendapatkan ubat demam yang bernilai beberapa ringgit di Hospital Kapit, penduduk perkampungan rumah panjang di daerah Nanga Merit yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar itu, terpaksa berbelanja sekitar RM150.

Ironinya, ada klinik kesihatan di Nanga Merit, namun disebabkan daerah kecil di Kapit, Sarawak tersebut begitu jauh terpencil selain dipisahkan oleh Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia, ada masa bekalan ubat-ubatan di klinik berkenaan terputus selama berminggu-minggu.

“Ketika itu belum ada jalan darat dari Nanga Merit ke Kapit. Jadi kami terpaksa menaiki bot penambang yang ambil masa dua  jam. Kami juga terpaksa menginap semalaman di hotel di pekan Kapit kerana bot hanya berlepas sekali sahaja sehari, iaitu pada sebelah pagi.

“Jadi, memang tidak berbaloi bagi kami hendak ke Hospital Kapit kalau sekadar mengambil ubat biasa,” cerita Pius anak Lagon, Tuai Rumah Panjang Nanga Banyau Merit  kepada Bernama baru-baru ini.


Klinik Kesihatan Nanga Merit, Kapit

Namun itu kisah kira-kira sedekad lalu. Kini klinik kesihatan tersebut tidak lagi berdepan masalah keputusan bekalan ubat-ubatan yang dihantar terus oleh gergasi farmaseutikal Malaysia, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

Bernama dan beberapa rakan media lain berpeluang menyertai kembara penghantaran ubat-ubatan oleh subsidiari Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), bermula dari gudang syarikat farmaseutikal berkenaan di Kuching, Sarawak hingga ke Nanga Merit.    

 

PERKHIDMATAN PINTU KE PINTU

Perkongsian lelaki berusia 50 itu memang sukar untuk dibayangkan oleh penulis yang dilahirkan dan dibesarkan di Pekan, Pahang,  namun kata Pius, sejak ada perkhidmatan penghantaran terus ubat-ubatan ke klinik kesihatan tersebut, penduduk kampung menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik. 

Nanga Merit mempunyai 36 buah perkampungan yang didiami oleh pelbagai suku kaum dengan sebahagian besar adalah Iban, selain Beketan, Melayu, Kayan dan Bidayuh.

“Klinik Kesihatan Nanga Merit ini beroperasi sejak 1973 dan merupakan satu-satunya tempat kami mendapatkan rawatan dan keperluan ubat-ubatan.


Rumah Panjang Nanga Banyau Merit

“Jadi, apabila ada perkhidmatan Pharmaniaga yang menghantar ubat terus ke klinik ini, secara tidak langsung memudahkan serta menjimatkan masa dan perbelanjaan penduduk di sini,’’ kata anak jati Nanga Banyau Merit daripada suku kaum Beketan itu lagi.

PLSB merupakan anak syarikat milik penuh Pharmaniaga yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan dari “pintu ke pintu” tepat pada masanya, ke semua fasiliti kesihatan dan perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk kawasan pedalaman di negara ini.

 

BUKAN KERJA MUDAH

Ternyata tugas menghantar bekalan ubat-ubatan ke daerah berkenaan bukan kerja yang calang-calang. Bermula dengan perjalanan sejauh 700 km melalui Lebuhraya Pan Borneo dari Kuching ke Kapit, kami menginap semalaman di pekan Kapit bagi merehatkan badan yang keletihan selepas 10 jam berada di dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD), sekalipun sepanjang perjalanan itu konvoi berhenti rehat beberapa kali.

Keesokan hari, konvoi meneruskan perjalanan ke Nanga Merit dan kali ini kekuatan fizikal serta mental penulis benar-benar teruji. Masakan tidak, perjalanan selama tiga jam itu agak mencabar dek keadaan jalan balak yang sempit, curam dan berbonggol-bonggol. Kami bernasib baik kerana ketika itu cuaca panas kering. Kalau tidak, jalan akan licin serta berselut tebal yang tambah menyukarkan pemanduan, waima menggunakan 4WD.   

Tiba di Nanga Merit, perjalanan kami belum berakhir kerana destinasi kami adalah di seberang Sungai Rajang, dan satu-satunya cara untuk ke situ ialah menaiki bot selama 15 minit - agak menggentarkan penulis yang terkenang kisah-kisah “sang bedal” di sungai-sungai di Bumi Kenyalang ini.


Perkhidmatan bot digunakan untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke Klinik Kesihatan Nanga Merit yang terletak di daerah kecil di Kapit dan jauh terpencil selain dipisahkan oleh Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia.

Mengakui pihaknya sering kali berdepan kesulitan semasa membuat penghantaran ke kawasan pedalaman dan terpencil di negeri berkenaan, Pengurus Logistik Pharmaniaga Kuching Dayang Norfazilah Awang Zaidil berkata walau sesukar mana sekalipun halangan yang dihadapi, pihaknya bertanggungjawab memastikan bekalan ubat-ubatan tersebut sampai di destinasi dalam masa yang ditetapkan.

“Di Semenanjung, PLSB diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk bekalan ubat  sampai di fasiliti kesihatan sepatutnya, manakala di Sabah dan Sarawak 10 hari bekerja adalah tempoh yang ditetapkan oleh KKM.

“Bagaimanapun kami cuba sehabis baik untuk menghantar ubat ini secepat mungkin berbanding tempoh yang ditetapkan. Kalau ikutkan jadual sebenar, ‘transporters’ kami akan bergerak dari gudang di Kuching selewat-lewatnya tengah malam bagi memastikan ubat sampai di Klinik Kesihatan Nanga Merit selewat-lewatnya sekitar 8 pagi keesokan harinya. 

“Situasi ini sama juga di daerah atau lokasi pedalaman yang lain. Malah, ada ketikanya jalan tidak boleh dilalui kenderaan, memaksa ‘transporters’ kami berjalan kaki dan mengangkut kotak ubat menggunakan kereta sorong bagi memastikan ubat sampai tepat pada masanya,” kata beliau.

Menurut beliau, antara cabaran yang sering dihadapi oleh PLSB di Sarawak ialah kejadian tanah runtuh, jalan rosak serta paras air sungai yang rendah dan tidak boleh dilalui oleh bot.

Namun katanya, tanpa mengira apa juga cabaran, PLSB komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti kesihatan dihantar tepat pada masanya ke seluruh negeri itu.

TULANG BELAKANG KKM

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Pharmaniaga Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman berkata dengan pengalaman hampir 28 tahun dalam industri farmaseutikal, syarikat tersebut sentiasa bersedia untuk menambah baik kemudahan logistiknya, terutama dari segi penghantaran bekalan ubat-ubatan.

Katanya setakat ini Pharmaniaga mempunyai 15 pusat logistik dan edaran yang terletak secara strategik di seluruh negara, antaranya di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Pusat terbabit disokong oleh lebih 300 kenderaan yang melakukan 450,000 penghantaran melalui udara,  air dan darat setiap tahun, selain 500 kakitangan logistik dan pengedaran yang merupakan tenaga kerja tempatan.


Pharmaniaga Logistik bertanggungjawab menghantar ubat dari “pintu ke pintu” ke semua fasiliti kesihatan dan perubatan di negara ini termasuk di kawasan pedalaman

"Kami diibaratkan 'tulang belakang' KKM dari sudut pengedaran dan penyediaan ubat serta produk perubatan. Saya akui ramai yang hanya mengetahui kami antara pengeluar ubat dan tidak tahu peranan kami dalam penyediaan perkhidmatan logistik ini.

“Apapun saya bersyukur dengan pencapaian yang telah kami capai setakat ini. Jika beberapa tahun sebelum ini ubat-ubatan tersebut mengambil masa kira-kira sebulan untuk sampai di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kini kurang dua minggu penduduk boleh dapat bekalan ubat mereka,” katanya.

Jelas beliau, Pharmaniaga turut memiliki fasiliti yang lengkap di semua peringkat bagi memastikan bekalan ubat dalam keadaan terbaik, dari peringkat penyimpanan hingga penghantaran.

Menurutnya, ini kerana syarikat farmaseutikal perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi KKM, dan akan berdepan penalti kewangan sekiranya syarikat gagal menepati standard terbabit.

“Meskipun kami berdepan risiko kerugian akibat ubat rosak atau tamat tempoh, kami tetap komited menggalas amanah dan tanggungjawab dalam membekalkan ubat-ubatan kepada masyarakat, selaras dengan moto Pharmaniaga, ‘Passion for Patients’,” tegas Zuhri Iskandar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan