SUKAN > BERITA

TUAN RUMAH CHINA BERTEMU INDONESIA PADA FINAL PIALA UBER

04/05/2024 11:59 PM

CHENGDU, 4 Mei (Bernama-Xinhua) -- Tuan rumah China akan bertemu Indonesia bagi menentukan Juara Piala Uber selepas menewaskan Jepun 3-0 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu, lapor Xinhua. 

Juara Olimpik Chen Yufei menundukkan Aya Ohori 21-18, 21-15 sebelum beregu nombor satu dunia Chen Qingchen and Jia Yifan menjadikan kedudukan 2-0 selepas bangkit daripada ketinggalan dengan mengalahkan Nami Matsuyama dan Chiharu Shida 14-21, 21-13, 23-21.

He Bingjiao kemudian memastikan slot ke final untuk China dengan mengalahkan Nozomi Okuhara 21-8, 21-18.

Beraksi di gelanggang sendiri buat julung kali sejak 2016, China yang merupakan pemegang rekod sebagai juara sebanyak 15 kali dalam sejarah kejohanan menyasarkan untuk merebut kembali gelaran itu selepas tewas kepada Korea Selatan dua tahun lepas. 

Pada Sabtu, Indonesia menyingkirkan juara bertahan Korea Selatan 3-2 dengan memenangi kesemua perlawanan perseorangan untuk mara ke final buat julung kalinya sejak 2008.

“Ini adalah separuh akhir pertama kami dalam tempoh 14 tahun, jadi memenangi perlawanan ini amat bermakna bagi kami,” kata Gregoria Mariska Tunjung yang mendapatkan mata pertama Indonesia dengan kemenangan  21-15, 21-13 ke atas Sim Yu-jin.

“Impian saya sejak kecil ialah untuk memenangi Piala Uber,” kata bintang yang sedang meningkat naik itu.

Dalam aksi beregu pertama  Baek Ha-na dan Lee So-hee menyamakan kedudukan dengan menewaskan  Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-6, 21-18.

Indonesia kembali mendahului selepas Ester Nurumi Tri Wardoyo menundukkan Kim Ga-ram 20-22, 21-16, 21-12, sebelum Jeong Na-eun and Kong Hee-yong menyamakan kembali kedudukan dengan mengatasi beregu kedua Indonesia Lanny Tria Mayasari dan Ribka Sugiarto 21-15, 21-14.

Dalam aksi penentuan perseorangan ketiga, Komang Ayu Cahya Dewi yang ketinggalan dalam set pertama bangkit menundukkan Kim Min-sun 17-21, 21-16 dan 21-19, bagi mengesahkan tiket ke final untuk Indonesia.

Kejohanan dwitahunan Piala Uber ke-30 berlangsung di Chengdu, Wilayah Sichuan barat daya China dengan aksi final dijadualkan pada Ahad.

-- BERNAMA-XINHUA            

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan